Belum capai imuniti kelompok, Maik belum sedia buka masjid

Bernama
Ogos 23, 2021 18:19 MYT
Setakat ini, masjid di seluruh negeri Kelantan masih kekal hanya dibuka kepada empat pegawai masjid termasuk imam dan bilal. - Gambar/ Bernama
KOTA BHARU: Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (Maik) belum bersedia membuka masjid kepada orang ramai memandangkan negeri ini masih belum mencapai imuniti kelompok.
Yang Dipertua Maik Tengku Tan Sri Mohamad Rizam Tengku Abdul Aziz berkata setakat ini, masjid di seluruh negeri Kelantan masih kekal hanya dibuka kepada empat pegawai masjid termasuk imam dan bilal.
Tengku Mohamad Rizam yang juga Tengku Temenggong Kelantan berkata langkah berkenaan adalah sepertimana titah Sultan Kelantan Sultan Muhammad V termasuk pandangan bersama untuk mengekalkan had bilangan jemaah sementara waktu.
"Ketepatan ini juga diambil kira susulan angka kes harian COVID-19 di Kelantan masih merekodkan empat angka. Justeru, kita ambil langkah berhati-hati dengan mengehadkan bilangan jemaah memandangkan masjid merupakan tempat perjumpaan orang ramai terutamanya di kampung-kampung.
"Sekiranya ada penurunan kes harian COVID-19 dan vaksinasi di Kelantan meningkat kita bersedia untuk buka masjid. Namun, buat masa ini seperti kita maklum Kelantan merupakan negeri kedua tercorot vaksinasi selain kita turut berharap kerajaan dapat mempercepatkan vaksinasi di negeri ini," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Sidang Media Laporan Khas Terimaan Dan Perbelanjaan Maik Bagi Januari hingga Jun 2021 di Dewan Serbaguna Kompleks Islam Jubli Perak Sultan Ismail Petra Panji, di sini hari ini.
Hadir sama Timbalan Yang Dipertua Maik Zulkifle Ab Rahman, Mufti Kelantan Datuk Mohamad Shukri Mohamad dan Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Datuk Dr Zaini Hussin.
Terdahulu, Tengku Mohamad Rizam mengurniakan sumbangan Bantuan Prihatin Maik kepada Ketua-Ketua Jajahan selain sumbangan berjumlah RM10,000 kepada Dr Zaini untuk diserahkan kepada pusat pemberian vaksin (PPV) di Kelantan.
Sementara itu, dalam perkembangan lain Tengku Mohamad Rizam berkata walaupun negara masih bergelut serta berhadapan dengan pandemik COVID-19, dengan adanya platform dalam talian untuk para pembayar zakat, maka terimaan bagi tempoh Januari hingga Jun 2021 agak memberangsangkan.
"Langkah pentadbiran Maik melebar luas lagi capaian dalam talian seperti e-PTG (Potongan Gaji Bulanan Zakat) dan kemudahan e-Zakat Payment telah memudahkan para pembayar zakat untuk membuat sebarang urusan bayaran zakat dalam talian sehingga merekodkan RM1 juta pada enam bulan pertama tahun ini," katanya.
Tengku Mohamad Rizam berkata hingga Jun lepas, Maik telah membelanjakan sebanyak RM83,864,749 kepada golongan sasar dan asnaf di seluruh negeri Kelantan.
"Perbelanjaan ini dapat disempurnakan hasil daripada komitmen semua pembayar zakat, penyumbang baitulmal, pewakaf dan bantuan yang diterima daripada pelbagai pihak. Maik ingin menzahirkan penghargaan dan terima kasih kepada semua pihak yang terbabit kerana merekalah hero sebenar kepada asnaf dan rakyat Kelantan," katanya.
-- BERNAMA
#MAIK #masjid #Kelantan #imuniti kelompok
;