Belum ada petunjuk dalam pencarian jasad Sabari
Adie Sufian Zulkefli
Oktober 1, 2024 12:40 MYT
Oktober 1, 2024 12:40 MYT
KUBANG PASU: Pasukan pencarian belum menemui sebarang petunjuk dalam operasi pencarian jasad Sabari Baharom, 62, yang dipercayai dicampak ke dalam Sungai Padang Terap, Kampung Empa, di sini, pada hari kedua operasi, pada Selasa.
Operasi yang bermula jam 9 pagi itu disertai Polis Kontinjen Kedah, Unit Selam Pasukan Polis Marin (PPM) dari Batu Uban, Pulau Pinang dan Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jitra.
Difahamkan radius pencarian diperluaskan kepada 12.8 kilometer sepanjang sungai terbabit bermula dari Jambatan Kampung Empa dekat sini, lokasi di mana mangsa dipercayai dicampak.
Setakat jam 12 tengah hari ini, tiada sebarang petunjuk diperolehi di lokasi pencarian ketika ini.
Semalam, polis mengesahkan mangsa dipercayai dicampak ke dalam Sungai Padang Terap dalam keadaan tangan diikat dan mulut ditutup dengan pita pelekat
Ketua Polis Kedah, Datuk Fisol Salleh sebelum ini dilaporkan berkata, operasi pencarian itu dijalankan susulan penahanan suspek dua lelaki tempatan berusia 26 dan 38 tahun Jumaat lalu.
Astro AWANI sebelum ini melaporkan Sabari hilang sejak 4 September lalu dan kereta jenis Proton Waja dinaiki mangsa kemudiannya ditemui hangus di Belantik, Sik.
Kehilangan warga emas itu disedari anaknya selepas telefon bimbit mangsa dimatikan selain terdapat transaksi pengeluaran wang dari akaun bank milik Sabari.