'Belum ada permohonan ekstradisi dari Malaysia untuk Sirul' - PM

Hafiz Marzukhi
Jun 8, 2018 13:27 MYT
he Guardian telah melaporkan bahawa bekas pegawai polis, yang disabitkan dan dijatuhi hukuman mati atas pertuduhan membunuh model warga Mongolia, Altantuya Shaariibuu akan meninggalkan Australia. - Gambar fail
Kerajaan belum melakukan apa-apa permohonan supaya Sirul Azhar Umar diekstradisi oleh Australia.
Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata demikian selepas ditanya tentang status Sirul selepas laporan media United Kingdom bahawa kerajaan Australia sudah meluluskan ekstradisi Sirul.
"Kita akan pertimbang supaya hukuman ke atas Sirul dikurangkan supaya dia dapat kembali ke Malaysia," kata Tun Mahathir.
Memetik portal berita The Guardian telah melaporkan bahawa bekas pegawai polis, yang disabitkan dan dijatuhi hukuman mati atas pertuduhan membunuh wanita warga Mongolia, Altantuya Shaariibuu akan meninggalkan Australia selepas Malaysia didakwa bersetuju untuk menampung kos kepulangannya.
Australia sebelum ini telah menolak ekstradisi Sirul kerana ia melanggar undang-undang negara yang tidak menghantar pulang seseorang yang berdepan dengan hukuman mati.
Dalam sesi sidang media pagi tadi, Tun Dr Mahathir bagaimanapun menyatakan kerajaan Malaysia akan mempertimbangkan semula hukuman gantung sampai mati yang dikenakan kepada Sirul.
“Sirul tidak boleh pulang ke Malaysia memandangkan kerajaan Australia tidak membenarkan sesiapa yang dijatuhkan hukuman gantung sampai mati pulang ke negara asal mereka.
“Kita mungkin akan membatalkan hukuman gantung keatasnya tetapi digantikan dengan hukuman penjara dan sebagainya supaya dia boleh kembali ke tanah air” katanya.
Terdahulu, Sirul memberi reaksi positif untuk membantu siasatan bagi mendedahkan perkara sebenar dalam kes kematian Altantuya yang terjadi 12 tahun lalu.
BACA: Sirul sedia dedah perkara sebenar pembunuhan Altantuya
#Altantuya Shaariibuu #Australia #ekstradisi #Mahathir Mohamad #Mongolia #Sirul Azhar Umar #the guardian #United Kingdom
;