Belum ada pekerja asing sektor perladangan dibawa masuk - Hamzah

Astro Awani
November 30, 2021 16:16 MYT
Menurut Hamzah, bukan mudah untuk membawa masuk pekerja asing ketika negara masih lagi dibelenggu COVID-19 selain menuntut prosedur kemasukan yang ketat. - Gambar fail BERNAMA
KUALA LUMPUR: Belum ada pekerja asing dalam sektor perladangan yang dibawa masuk ke negara ini, sekali gus menafikan dakwan kononnnya 32,000 buruh dari luar negara telah memasuki Malaysia untuk bekerja.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin menegaskan, dakwaan sedemikian tercetus berkemungkinan disebabkan salah faham.
Menurut beliau, bukan mudah untuk membawa masuk pekerja asing ketika negara masih lagi dibelenggu oleh penularan COVID-19 selain menuntut prosedur kemasukan yang cukup ketat.
Bahkan, tegas Hamzah, sekalipun kerajaan membenarkan kemasukan 32,000 pekerja asing masuk, namun, sehingga kini, belum 1 peratus daripada jumlah yang dibenarkan itu sudah tiba di negara ini.
“Prosedur yang akan kita (kerajaan) kenakan sangat ketat. Apabila kita memperketatkan sesuatu proses untuk membawa masuk (pekerja asing), ia adalah sesuatu yang dipertanggungjawabkan untuk semua pihak sama ada majikan atau pekerja itu sendiri.
“Begitu juga dengan penguatkuasa yang kita lakukan bersama, sama ada melalui KDN (Kementerian Dalam Negeri) ataupun Kementerian Sumber Manusia dan Kementerian Kesihatan Malaysia
“Jadi, tak payah risau, kita akan lakukan (membawa masuk pekerja asing) mengikut SOP (prosedur operasi standard) dari semasa ke semasa untuk memastikan segala apa yang dibuat mengikut akta yang ada dalam negara kita,” jelas beliau lagi.
Media sebelum ini melaporkan Kementerian Sumber Manusia akan membenarkan 32,000 pekerja luar negara bagi menampung keperluan kritikal sektor perladangan tempatan.
Hamzah berkata, setakat kelmarin, seramai 280,088 pekerja asing sudah mendaftar dalam skim rekalibrasi tenaga kerja (RTK) sejak dilancarkan tahun lalu.
Daripada yang berdaftar untuk RTK, 120,000 individu terlibat dalam sektor perladangan selepas menyertai pemutihan secara besar-besaran.
Sehingga kelmarin juga, 24,155 pekerja asing yang ditangkap telah diusir balik ke negara asal masing-masing termasuk yang menyertai program rekalibrasi pulang.
#pekerja asing #Sektor Perladangan #skim rekalibrasi tenaga kerja #Hamzah Zainuddin
;