Belum ada larangan guna pembesar suara masjid daripada kerajaan negeri Pulau Pinang

Astro Awani
November 16, 2015 16:53 MYT
Jawatankuasa Fatwa Pulau Pinang masih belum memuktamadkan cadangan berkenaan penggunaan pembesar suara di masjid di Pulau Pinang kerana ia masih dalam peringkat urusan pentadbiran. - Gambar hiasan
Kerajaan Pulau Pinang tidak pernah mengeluarkan arahan melarang penggunaan pembesar suara di luar masjid dan surau di negeri itu.
Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Negeri, Datuk Abdul Malik Kassim berkata, sehingga kini keputusan akhir berhubung cadangan menghadkan penggunaan pembesar suara di luar masjid masih belum diputuskan.
Menurutnya, Jawatankuasa Fatwa Pulau Pinang masih belum memuktamadkan cadangan itu kerana ia masih dalam peringkat urusan pentadbiran.
“Setelah keputsan dibuat, lazimnya pihak mufti hantar surat memaklumkan keputusan ini, dan minta respons daripada majlis agama Islam. Saya juga telah dimaklumkan belum lagi ada apa-apa perancangan belum putuskan untuk etruskan fatwa ini ke peringkat seterusnya,” kata Abdul Malik.
Mengulas lanjut, beliau berkata mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Pulau Pinang bertarikh 1 dan 2 Julai lalu mencadangkan menghadkan penggunaan pembesar suara masjid dan surau hanya untuk laungan azan dan iqamah serta tidak lagi dibenarkan bagi tujuan kuliah agama, bacaan zikir dan alunan ayat suci al-Quran sebelum laungan azan dan sebagainya.
Bagi mengelakkan kekeliruan berhubung cadangan tersebut, Abdul Malik berkata pihaknya telah mengadakan pertemuan dengan pengurusan masjid di negeri itu.
“Masjid bukan saja institusi yang bukan untuk ibadah, tapi mesra kepada orang bukan Islam supaya ia jadi tentang keindahan Islam,” ujarnya.
Abdul Malik berkata demikian ketika menjawab soalan lisan dari Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) Bayan Lepas Nordin Ahmad pada mesyuarat kedua penggal ketiga DUN Pulau Pinang yang ke-13 pada Isnin .
#Abdul Malik Kassim #masjid #pembesar suara #pulau pinang
;