Belum ada laporan polis dari Wahab - PDRM
Sinar Harian
November 19, 2023 18:34 MYT
November 19, 2023 18:34 MYT
SHAH ALAM: Polis Kontinjen Selangor dan Kuala Lumpur, memaklumkan belum menerima sebarang laporan polis dari Penolong Pegawai di Jabatan Komunikasi Komuniti (J-KOM) Abdul Wahab Abdul Kadir Jilani, berhubung dakwaan rakaman video perbualan tular.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, setakat ini hanya terdapat laporan polis yang dibuat berhubung kes itu merujuk kepada laporan oleh bekas Ketua Pengarah J-KOM, Datuk Mohammad Agus Yusoff.
"Setakat ini hanya satu laporan polis dan siasatan sudah diambil alih oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman," katanya ketika dihubungi pada Ahad.
Sebelum ini, Hussein dilaporkan berkata, siasatan kes berkenaan mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Sementara itu, Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Allaudeen Abdul Majid, turut mengesahkan pihaknya juga tidak menerima sebarang laporan dari Abdul Wahab.
"Setakat ini, kita tidak menerima sebarang laporan dan sekiranya ada kita akan rujuk semula kepada Polis Kontinjen Selangor.
"Namun, kita ada menerima laporan berhubung siasatan terhadap ketulenan video berkenaan daripada Armada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi, semalam (Sabtu)," katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah, Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain memberitahu bahawa satu sidang media akan diadakan pada Isnin berhubung perkembangan siasatan kes berkenaan.
Sebelum ini, Mohammad Agus dan Abdul Wahab dalam satu sidang akhbar mendakwa video perbualan mereka yang tular di media sosial sebenarnya sudah disunting.
Abdul Wahab, 33, mendakwa telah diarahkan oleh individu bernama Mr H untuk merekod video perbualannya bersama bekas Ketua Pengarah J-KOM itu.
*Artikel asal yang disiarkan di Sinar Harian