Belum ada kesimpulan siasatan, berapa lama kita kena tunggu? - Waris MH370
Astro Awani
Disember 3, 2014 17:49 MYT
Disember 3, 2014 17:49 MYT
"Tidak adakah unsur kecuaian Jabatan Penerbangan Awam (DCA) dan agensi berkenaan sehingga melewatkan keputusan siasatan? Kenapa sehingga kini tiada dakwaan kepada mana-mana pihak yang sepatutnya?"
Itu antara soalan waris MH370 semasa perjumpaan bersama Malaysia Airlines (MAS) pada malam Selasa di Kelana Jaya.
Paling menyedihkan, jawapan yang diberi pihak berkenaan adalah masih belum ada kesimpulan dan sekali gus membuktikan kelembapan proses siasatan itu sendiri.
Menurut waris MH370 yang enggan mendedahkan identiti, perjumpaan itu juga tidak memberi sebarang petunjuk atau perkembangan baru pencarian pesawat malang yang hilang 8 Mac lalu.
"Kita diminta untuk bersedia memberi ujian asid deoksiribonukleik (DNA) sebagai persediaan seandainya pesawat itu dijumpai nanti.
"Kita juga diberitahu masih belum ada apa-apa perkembangan untuk MH370 dan masih belum ada sebarang kesimpulan terhadap proses pencarian.
"Perjumpaan semalam lebih banyak bercerita mengenai proses pencarian," jelasnya.
Kata waris itu lagi, ia menunjukkan proses siasatan yang perlahan selain isu status sijil mati penumpang MH370 yang masih belum diputuskan.
"Kerajaan hanya menawarkan bantuan pihak yang harus dihubungi iaitu Yayasan Bantuan Guaman untuk prosedur di mahkamah.
"Kerajaan tidak dapatkan, setiap keluarga juga kena usaha sendiri," ujarnya.
Sebuah portal hari ini melaporkan, adik kepada pramugara penerbangan MH370, Mohd Hazrin Hasnan, Syafinaz Hasnan memberitahu, perjumpaan pada malam Selasa itu terlalu berunsur teknikal dan rumit.
"Tiada perkembangan baru, kita hanya ditunjukkan tayangan slaid di mana pesawat itu disyaki berada," jelasnya.
Penerbangan MH370, yang membawa 239 penumpang dan anak kapal, hilang daripada imbasan radar ketika terbang di ruang udara Laut China Selatan pada 8 Mac lalu setelah berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa KL di Sepang pada 12.41 tengah malam.
Sehingga kini usaha mengesan pesawat itu di perairan barat Australia di selatan Lautan Hindi masih belum membuahkan sebarang hasil.