Belum ada keputusan untuk pisahkan kuasa Peguam Negara dan pendakwa raya

Firdaus Azil
Disember 5, 2018 11:04 MYT
Masih belum ada keputusan konkrit untuk memisahkan kuasa antara Peguam Negara dan pendakwa raya. - Gambar fail
Masih belum ada keputusan konkrit untuk memisahkan kuasa antara Peguam Negara dan pendakwa raya, kata Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Mohamed Hanipa Maidin.
Beliau berkata, walaupun perkara itu antara yang dijanjikan Pakatan Harapan dalam Manifesto Pilihan Raya mereka, masih ada kekangan untuk melaksanakannya iaitu kerajaan memerlukan majoriti dua pertiga bagi membolehkan pindaan dijalankan ke atas Perlembagaan Persekutuan.
“Untuk makluman, memang di beberapa negara lain memang pisahkan, dan dalam manifesto kita, antara sebab kita mahu pemisahan ini ialah kerana wujudnya conflict of interest. Tetapi buat masa ini, tidak ada lagi keputusan dibuat Jemaah Kabinet atau kerajaan untuk laksanakan.
“Kita ada kekangan tak ada majoriti dua pertiga, kerana kalau nak pinda perlembagaan, berdasarkan Perkara 159(3) PP, pindaan ini memerlukan dua pertiga, jadi buat masa ini kita tidak ada dua pertiga kita tak mahu ambil risiko apabila kita bentang, tak lulus,” katanya sewaktu menjawab soalan Datuk Johari Abdul (PH-Sungai Petani) di Dewan Rakyat hari ini.
Johari ingin mengetahui perkembangan terkini rancangan untuk memisahkan peranan Pendakwa Raya dan Peguam Negara.
Katanya lagi, walaupun perkara itu masih belum dijalankan, tetapi sudah ada perubahan besar yang dapat dilihat sejak Peguam Negara baharu Tommy Thomas dilantik.
Sebagai contoh, jelasnya, kini rakyat boleh menyaksikan bagaimana seorang bekas perdana menteri dan individu bernama Jho Low didakwa atas tuduhan salah laku kuasa.
Dalam pada itu, Datuk Seri Ahmad Maslan (BN-Pontian) berkata, tidak akan ada masalah dari sebelah UMNO untuk menyokong pindaan itu bila tiba waktunya.
Turut memberi sokongan ialah Timbalan Presiden PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man (PAS-Kubang Kerian).
#Ahmad Maslan #Datuk Hanipa Maidin #Dewan Rakyat #Jho Low #kabinet #kerajaan #Manifesto #Peguam Negara #pendakwaraya #Perdana Menteri #pilihan raya #Tuan Ibrahim Tuan Man #UMNO
;