Belum ada keputusan PKP di Sabah selepas PRN - Ismail Sabri
Radhi Muslim
September 25, 2020 20:31 MYT
September 25, 2020 20:31 MYT
Belum ada keputusan sama ada Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akan dikuatkuasakan di Sabah selepas Pilihan Raya Negeri Sabah dijalankan.
Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, pihak Kementerian Kesihatan (KKM) akan memantau rapat perkembangan kes khususnya di pantai timur Sabah.
Menurutnya, sebarang pengumuman mengenainya akan dibuat oleh beliau sendiri.
Justeru, Ismail Sabri meminta semua pihak bertenang dan tidak mendengar khabar-khabar angin yang tidak sah.
"Belum tahu lagi, tapi KKM memantau setiap masa khususnya di Tawau, di Lahad Datu, di Semporna, yang ini sentiasa dipantau oleh pihak KKM.
"Jadi, kalau ada apa-apa pengumuman, akan diumumkan oleh saya sendiri dan tolong jangan dengar khabar-khabar angin,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas ditanya mengenai khabar angin kononnya PKP akan dikuatkuasakan di Sabah selepas PRN Sabah.
Ismail Sabri ditemui pemberita dalam sidang media sempena Program Penganugerahan Pingat Jasa Malaysia (PJM) di Sandakan, pada Jumaat.
Dalam pada itu beliau mengingatkan kepada semua pengundi dan petugas di markas-markas parti politiik pada Sabtu agar mengamalkan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.
“Pengundi-pengundi esok, terutamanya di kawasan yang agak tinggi risiko tolong buat kawalan kendiri untuk menjaga diri.
"SOP telah pun dikeluarkan oleh SPR (Suruhanjaya Pilihan Raya). Jadi, esok kalau boleh keluar (mengundi) mengikut waktu yang ditetapkan sebab nak mengelak berlaku kesesakan,” katanya.
Selain itu, beliau turut menasihatkan semua individu yang baru pulang dari Sabah agar menjalani ujian swab sebelum pulang ke rumah.
“Saya nasihatkan siapa yang balik daripada Sabah... sampai saja ke destinasi masing-masing di Semenanjung, Sarawak atau Labuan , saya nasihatkan tolong buat ujian swab.
"Ini untuk menjaga kepentingan dan keselamatan keluarga (bila) balik rumah. Macam-macam boleh berlaku. Jadi kalau sampai tu, buat ujian swabt dulu di mana-mana,” katanya lagi.
#ismail sabri yaakob
#Kementerian Kesihatan
#KKM
#Menteri Kanan Pertahanan
#perintah kawalan pergerakan
#pilihan raya negeri
#PKP
#PRN Sabah
#prosedur operasi standard
#Sabah
#SOP