'Belum ada keperluan hantar anggota tentera awasi perairan Pulau Pom Pom'

Astro Awani
Julai 2, 2015 06:19 MYT
Panglima ATM Tan Sri Dr Zulkifeli Mohd Zain berkata pihak polis sedang menjalankan siasatan berhubung kejadian itu.
Angkatan Tentera Malaysia (ATM) tidak bercadang menempatkan anggotanya bagi meningkatkan kawalan keselamatan di perairan Pulau Pom Pom, Semporna, Sabah berikutan insiden tembakan pihak tidak dikenali ke arah pos kawalan anggota Pasukan Gerakan Am (PGA), Selasa lepas.
Panglima ATM Tan Sri Dr Zulkifeli Mohd Zain berkata pihak polis sedang menjalankan siasatan berhubung kejadian itu.
"Saya difahamkan berlaku tembak menembak dan pihak polis berjaya menahan seorang suspek dan merampas bot tersebut (bot penjenayah)," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Berbuka Puasa bersama warga ATM di Masjid Khalid Al-Walid, di sini malam tadi.
Zulkifeli berkata kejayaan tangkapan tersebut membuktikan bahawa kawalan keselamatan negara berada pada tahap yang baik apabila dapat memintas semula bot penjenayah.
Dalam kejadian jam 3 pagi itu, anggota di sebuah pos kawalan pada mulanya dilapor mendengar bunyi enjin bot menghampiri pulau itu.
Apabila anggota PGA menyuluh ke arah bot berkenaan, mereka terdengar dua das tembakan dilepaskan ke arah mereka.
Pihak PGA kemudian membalas tembakan menyebabkan penceroboh melarikan diri dalam keadaan gelap.
#ATM #Pulau Pom Pom #Sabah #Semporna #Zulkifeli Mohd Zain
;