Belum ada kelulusan permit jualan mercun, bunga api di Melaka
Shuhada Abdul Kadir
April 6, 2022 17:22 MYT
April 6, 2022 17:22 MYT
AYER KEROH: Polis Melaka belum memberi sebarang kelulusan bagi penjualan mercun dan bunga api sempena Ramadan dan Aidilfitri di negeri itu.
Timbalan Ketua Polis Melaka, Datuk Razali Abu Samah berkata, setakat ini sebanyak 20 permohonan permit jualan diterima membabitkan tiga daerah di negeri itu.
Bagaimanapun katanya, penelitian kepada syarat yang ditetapkan termasuk lokaliti penjualan serta jenis mercun dan bunga api yang bakal dijual perlu dibuat sebelum kelulusan diberikan.
"Permohonan diterima kurang daripada 20. Setakat ini kita masih kaji tempat dan lokaliti, kesesuaian lokasi dan sebagainya. Jadi, kita belum luluskan mana-mana penjualan lagi bunga api dan mercun.
"Kita juga mahu pastikan dari mana dia (pemohon) beli bekalan bunga api dan mercun... kalau dia beli daripada pengedar yang sah, kita akan interview dulu pemohon seterusnya kita akan buat kajian untuk diluluskan.
"Syarat lain dia mestilah ada lesen pihak berkuasa tempatan, warga tempatan dan bukan warga asing, dan semestinya jenis mercun serta bunga api yang dibenarkan," katanya.
Beliau berkata demikian selepas menghadiri Program Kempen Keselamatan Rumah dan Pengedaran Bubur Sempena Bulan Ramadan 2022 di sini, pada Rabu.
Mengulas lanjut beliau berkata, meskipun negara sudah beralih ke Fasa Peralihan ke Endemik bermula awal bulan ini, sebanyak 256 petugas pasukan pemantau COVID-19 akan tetap digerakkan bagi memastikan tidak berlaku sebarang pelanggaran prosedur operasi standard (SOP).
Katanya, pasukan pemantau terlibat juga akan digerakkkan meninjau pergerakan di bazar Ramadan termasuk penjualan mercun dan bunga api.
Dalam perkembangan lain katanya, susulan kelonggaran pembukaan sempadan negeri pada 1 April lalu, jumlah kenderaan yang memasuki tiga pintu masuk utama melalui jalan darat di Melaka meningkat hampir 50 peratus.
Katanya, polis turut menjangkakan berlaku kesesakan kenderaan keluar dan masuk di negeri ini menjelang Aidilfitri nanti.
Jelasnya, pihaknya akan menyusun penugasan pegawai dan anggota bagi mengawal keamanan termasuk memperkasa kawalan polis pelancong di sekitar kawasan tumpuan di Bandar Hilir.