Belum ada bukti minyak masak peket terapung di perairan Indonesia dibawa dari Malaysia - Annuar

Hasimi Muhamad
Ogos 4, 2022 19:46 MYT
Tular penemuan ribuan peket minyak masak dipercayai bersubsidi dari Malaysia berhampiran Pulau Jawa, Indonesia menimbulkan tanda tanya pelbagai pihak - Sumber foto TikTok
KUALA LUMPUR: Kementerian Komunikasi dan Multimedia (K-KOMM) menegaskan tiada sebarang bukti lagi bahawa minyak masak peket bersubsidi terapung di laut yang tular di media sosial dibawa dari Malaysia.
Sebaliknya, Menterinya, Tan Sri Annuar Musa berkata maklumat awal yang diterima mengenai minyak masak peket tersebut adalah ia dari negara jiran, Indonesia.
“Bagaimanapun, saya telah meminta supaya Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) membuat tindakan susulan dengan rakan sejawat di Indonesia untuk mendapatkan maklumat lebih lanjut.
“Kerana ada juga yang menyatakan berita itu merupakan berita atau klip (video) yang lama, bukan suatu peristiwa baru berlaku,” katanya pada sidang akhbar di bangunan Parlimen, di sini pada Khamis.
Sebelum ini, tular penemuan ribuan peket minyak masak dipercayai bersubsidi dari Malaysia berhampiran Pulau Jawa, Indonesia menimbulkan tanda tanya pelbagai pihak.
Video berdurasi 11 saat itu tular di media sosial menunjukkan seorang lelaki sanggup berenang mengutip minyak masak yang terapung di laut dan memasukkannya ke dalam plastik.
Turut kedengaran dalam rakaman itu suara seorang lelaki yang mendakwa minyak masak tersebut sedang dievakuasi.
Mengulas lanjut, Annuar menasihatkan orang ramai agar tidak membuat sebarang andaian sehingga perkara itu disahkan oleh pihak yang lebih berautoriti.
“Pihak media yang menyiarkan berita berkenaan, saya telah minta sebentar tadi untuk mereka memberikan maklumat lanjut sekiranya ada.
“Sehingga ada kenyataan yang jelas dan sahih, adalah tidak wajar untuk diandaikan minyak yang ditemui di Indonesia itu adalah minyak bersubsidi daripada negara kita,” jelasnya.
#minyak masak peket #Minyak masak peket terapung #Annuar Musa #harga minyak masak
;