Belon meletup, 16 termasuk kanak-kanak melecur
Bernama
Oktober 12, 2019 16:08 MYT
Oktober 12, 2019 16:08 MYT
Seramai 16 orang termasuk kanak-kanak melecur apabila belon-belon helium yang menjadi 'prop' untuk program kecergasan Kementerian Pendidikan sempena Bulan Sukan Negara 2019 di Dataran Putrajaya di sini hari ini meletup, selepas dikatakan cuba direbut hadirin.
Sembilan kanak-kanak dan tujuh dewasa berumur antara empat dan 30-an cedera dalam insiden kira-kira 11.30 pagi itu yang antaranya adalah peserta dan pengunjung ke program kecergasan berkenaan.
Enam daripada mereka dimasukkan ke wad di Hospital Putrajaya, manakala selebihnya dibenarkan pulang selepas menerima rawatan sebagai pesakit luar.
Ketua Polis Daerah Putrajaya ACP Rosly Hasan berkata belon-belon itu meletup dipercayai akibat cubaan seorang dewasa memotong tali pengikat belon itu bagi melepaskannya dengan menggunakan pemetik api, yang kemudiannya menyambar belon-belon helium berkenaan.
"Polis menjumpai pemetik api yang disyaki di tempat kejadian," katanya ketika ditemui di Hospital Putrajaya.
Menurutnya, kejadian berlaku selepas program kecergasan itu telah selesai dan orang kenamaan juga telah meninggalkan majlis iaitu waktu untuk "berkemas-kemas".
Program kecergasan itu dirasmikan Timbalan Menteri Pendidikan Teo Nie Ching pada sebelah pagi berjalan lancar, di mana pada program itu, Teo turut mengambil bahagian melakukan aktiviti kecergasan.
Rosly berkata siasatan awal mendapati tiada unsur jenayah terlibat dan setakat ini, tiada tangkapan dibuat.
Sementara itu Ketua Jabatan Kecemasan dan Trauma Hospital Putrajaya Dr Khairul Nizam Hassan berkata tiada mangsa yang kritikal.
"Mangsa mengalami luka terbakar tahap pertama dan tahap kedua. Kecederaan yang dialami mangsa berbeza ada yang di kening, rambut dan tangan. Tidak ada yang cedera satu badan," katanya.
Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad yang turut melawat mangsa berkata enam mangsa dimasukkan ke wad hospital untuk rawatan lanjut setelah mengalami 'second-degree burn' serta kulit mengelupas, manakala 10 lagi dibenarkan pulang selepas diambil keterangan.
Menurut seorang mangsa yang cedera Sri Rahayu Sugiono, belon itu meletup ketika kanak-kanak berebut-rebut mahukan belon yang digunakan sebagai gimik perasmian program kecergasan itu, selepas majlis penyampaian hadiah berakhir.
"Saya tidak nampak sebarang percikan api. Selepas letupan berlaku kedengaran ramai kanak-kanak menangis dan menjerit," kata Sri Rahayu, 35, antara mangsa yang dibenarkan pulang selepas dirawat.
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail bergegas melawat mangsa di Hospital Putrajaya, sejurus selepas menghadiri satu program sempena Hari Kanak-kanak 2019 di Sekolah Menengah Kebangsaan Presint 8 (1) Putrajaya berhampiran di mana beliau dimaklumkan mengenai insiden itu.
Dr Wan Azizah ketika ditemui di Hospital Putrajaya selepas melawat mangsa berkata ada mangsa kanak-kanak yang ditemuinya trauma dengan kejadian itu sehingga tidak mampu untuk bercakap.
Beliau yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat berkata Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sedia membantu dari segi kaunseling kepada mangsa.
"Sedih tragedi sudah berlaku di tempat yang sepatutnya ada temasya," katanya.
Teo yang turut melawat mangsa di hospital berkata Kementerian Pendidikan akan mendapatkan laporan berhubung insiden itu namun keutamaannya sekarang adalah untuk mangsa kejadian mendapatkan rawatan.
-- BERNAMA
#16 mangsa
#belon
#belon helium
#belon meletup
#Bulan Sukan Negara
#cedera
#Helium
#hospital putrajaya
#Kanak-kanak
#Khairul Nizam Hassan
#melecur
#pemetik api
#program kecergasan
#Putrajaya
#Rosly Hasan
#sekolah
#Wan Azizah Wan Ismail