'Bella dalam keadaan baik' - Rina Harun mohon masyarakat tak sebar maklumat kurang tepat

Hasimi Muhamad
Mei 30, 2022 15:35 MYT
Rina berkata, prosiding tersebut yang bersambung semula hari ini perlu dihormati oleh semua pihak. - Foto/Facebook Rina Harun
KUALA LUMPUR: Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat memohon agar masyarakat tidak menyebarkan maklumat kurang tepat berhubung kes perbicaraan melibatkan seorang remaja Sindrom Down, Bella.
Menterinya, Datuk Seri Rina Harun berkata, prosiding tersebut yang bersambung semula hari ini perlu dihormati oleh semua pihak.
"Saya faham ramai di luar sana sayangkan Bella.
"Untuk itu, usah sebar maklumat-maklumat kurang tepat berkaitan kes adik Bella dan teruskan menghormati prosiding yang sedang berlangsung di mahkamah," tulisnya dalam hantaran di laman Facebook hari ini.
Mengulas lanjut, Rina memaklumkan Bella dan rakan-rakannya berada dalam keadaan baik ketika ini, dan sedang menjalani proses pemulihan dan kaunseling di institusi kanak-kanak di bawah kendalian Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
Rina menambah beliau sentiasa memantau keadaan Bella dan memastikan pegawai JKM memberikan sokongan psikososial buat remaja itu dan rakan-rakannya bagi mengembalikan semangat dan keceriaan buat kanak-kanak istimewa tersebut.
"Sepanjang perbicaraan kes adik Bella, pegawai JKM yang ditugaskan ke mahkamah bagi mengikuti perkembangan kes turut mengemukakan laporan kepada saya.
"Doa saya semoga kes ini dapat dibicarakan seadilnya dan setiap saksi dapat memberikan keterangan yang benar agar keadilan dapat kita tegakkan," ujarnya lagi.
Prosiding perbicaraan kes Bella yang didakwa didera dan diabaikan pengasas Rumah Bonda, Siti Bainun Ahd Razali, 31, kini sedang berlangsung di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur.
Siti Bainun mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan, iaitu mengabai dan menganiaya remaja perempuan terbabit sehingga menyebabkan mangsa mengalami kecederaan fizikal serta emosi.
Tertuduh didakwa melakukan perbuatan itu di sebuah kondominium di Wangsa Maju, di sini antara Februari hingga Jun 2021.
Dia dituduh mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun atau denda RM50,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Sebelum ini, Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim turut menawarkan khidmat peguamnya secara percuma bagi menjalankan arahan memerhati bagi kes penderaan remaja berkenaan.
#Perbicaraan kes Bella #Bella didera #Siti Bainun #berita Malaysia #rumah bonda #Rina Harun #jkm
;