Belia tidak memilih kerja, tidak minta gaji terlalu tinggi - kajian KRI

Najib Aroff
Disember 12, 2018 16:08 MYT
kajian tersebut merumuskan golongan muda bukan bersifat tidak realistik dalam mencari pekerjaan dan mereka juga tidak meminta bayaran gaji terlalu tinggi. - Foto Fail
Golongan belia tidak meminta gaji yang banyak dan tidak memilih kerja, menurut dapatan kajian Peralihan Persekolahan ke Pasaran Pekerjaan (SWTS) oleh Khazanah Research Institute (KRI).
Kajian itu mendapati, pekerja golongan muda yang bekerja separuh masa dan menyumbang kepada keluarga, sanggup menerima sesuatu pekerjaan meskipun ditawarkan gaji di bawah paras lantai RM1,715.
Kajian itu mengukur kemahuan itu berdasarkan petunjuk gaji lantai bagi pencari pekerjaan pada RM1,715 di mana jika mereka di tawarkan di bawah paras tersebut, mereka menolak.
“Jika dibandingkan dengan gaji minimum yang akan dilaksanakan 1 Januari pada RM1100, elaun bulanan bagi peserta Skim Latihan 1 Malaysia (SL1M) adalah RM2,000 dan gaji yang ditawarkan majikan untuk graduan adalah pada minimum RM1,703 dan maksimum RM2,682,” kata kajian itu.
Justeru kajian tersebut merumuskan golongan muda bukan bersifat tidak realistik dalam mencari pekerjaan dan mereka juga tidak meminta bayaran gaji terlalu tinggi.
Kajian turut mencadangkan semakan paras gaji diperlukan untuk melihat sama ada penetapan gaji minimum perlu ditetapkan mengikut paras kebangsaan atau mengikut sektor, lokaliti, pekerjaan, dan usia.
“Semakan itu boleh dilakukan berdasarkan Konvensyen Penetapan Gaji Minimum ILO 1970 yang sudah ditarifikasi Malaysia pada 2016. Komnvensyen itu mencadangkan pertimbangan penting yang perlu diambil kira dalam menetapkan gaji minimum,” kata kajian itu lagi.
Selain itu kajian itu turut mendapati jumlah pengangguran golongan muda Malaysia kerap dikaitkan dengan sikap memilih kerja oleh golongan itu termasuk mahukan gaji tinggi.
“Kajian menunjukkan golongan ini tidak boleh dianggap memilih pekerjaan apabila pekerja dalam sektor bukan berkemahiran dan berkemahiran rendah, adalah golongan yang mempunyai pendidikan lebih tinggi. Justeru pekerjaan mereka tidak setara dengan paringkat pendidikan yang mereka terima," menurut KRI.
Selain itu kajian itu turut mendapati faktor gaji tinggi berada di tempat ke empat dalam senarai faktor pencarian kerja dalam kalangan golongan muda.
Justeru KRI mencadangkan beberapa penyelesaian antaranya menambahbaik sistem maklumat pasaran pekerjaan termasuk menambahbaik garis panduan kerjaya dan kaunseling pencarian pekerjaan.
#Belia #gaji lantai #gaji minimum #golongan muda #Khazanah #khazanah research institute #KRI #memilih pekerjaan #minimum wage #Pekerjaan belia #SL1M
;