Belia Sarawak dambakan peluang pekerjaan, wacana lebih terbuka - IGMS
Astro Awani
Julai 22, 2022 18:11 MYT
Julai 22, 2022 18:11 MYT
KUALA LUMPUR: Golongan belia di Sarawak mendambakan lebih banyak peluang pekerjaan di negeri tersebut dan lebih keterbukaan dalam berwacana dan menyampaikan pendapat.
Setiausaha Agung Ikatan Graduan Melayu Sarawak (IGMS), Samsol Morshidi Bujang berkata, keterbukaan tersebut akan membuatkan lebih ramai belia mahu terlibat dengan polisi-polisi dilaksanakan kerajaan negeri.
Begitupun, katanya, perkembangan positif mula dilihat selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) pada tahun lepas apabila lebih ramai golongan muda diberikan ruang dan peluang.
“Ini membuktikan dasar keterbukaan Premier dalam memahami aspirasi anak muda. Kalau kita lihat, kualiti mereka sebenarnya perlu digilap bagi menjamin kepimpinan yang matang dan dinamik.
“Pemimpin pelapis yang berkaliber juga perlu proaktif dalam memahami aspirasi belia di peringkat bawahan.
“Kalau nak tunggu Sarawak Maju, sebenarnya kita tak perlu melihat jauh ke depan, kena lihat di bawah kita dahulu. Lihat bagaimana belia di bawah dan bagaimana sinergi mereka untuk capai negeri maju pada 2030.
“Harus ada peluang untuk mereka (pemimpin muda) bergaul dengan belia supaya ada sinergi antara kepimpinan dan sosial,” katanya ketika bersiaran langsung dalam Buletin AWANI pada Jumaat.
Beliau berkata demikian sebagai respons terhadap peranan belia terhadap kemajuan negeri Sarawak sempena Hari Sarawak 2022 yang diraikan pada 22 Julai setiap tahun.
Terdahulu, Astro AWANI melaporkan Timbalan Premier Sarawak, Datuk Seri Dr Sim Kui Hian menyeru anak-anak Bumi Kenyalang mengamati sambutan Hari Sarawak dengan menjulang nilai, budaya dan tradisinya dengan cara tersendiri, sesuai peredaran zaman.
Menurutnya, hari bersejarah itu diwartakan sebagai cuti umum negeri supaya rakyat Sarawak dapat mengimbau sejarah, aspirasi dan hala tuju pembangunannya.
Walaupun diraikan hanya sehari tetapi ia melambangkan seribu satu perjuangan pemimpin tanah air terdahulu.
Hari Sarawak telah diwartakan sebagai cuti umum pada tahun 2016 oleh kerajaan negeri, menandakan penubuhan kerajaan sendiri pada tarikh 22 Julai 1963.