'Belia rebut peluang depan mata, Kerajaan wujudkan peluang kerja luar bandar' - Usahawan
Irfan Faruqi
Mac 11, 2023 11:10 MYT
Mac 11, 2023 11:10 MYT
KUALA LUMPUR: Belia perlu berani mengambil apa saja peluang yang ada didepan mata untuk kelangsungan hidup sama ada perlu berhijrah atau tidak. Namun, soal mencipta peluang pekerjaan yang saksama diseluruh negara kekal menjadi keutamaan yang perlu diberikan perhatian oleh kerajaan.
Usahawan, Liyana Lidiya mengakui ada golongan belia yang memilih jenis pekerjaan yang terbuka kepada mereka. Namun, itu tidak boleh menjadi alasan untuk tidak memperkemas dasar pelaksanaan gaji bermaruah untuk orang muda.
"Anda mesti ambil inisiatif dan peluang yang ada. Rebut apa saja. Saya percaya anak muda sekarang memang akan pilih kerja. Kalau minta mereka kerja sebagai pencuci, memang tidak akan nampak mereka sedia memilih kerjaya itu.
"Sedangkan kerja sebagai pencuci dan orang biasa ada yang kadar gajinya sama. Jadi disini saya mahu tekankan, rebut apa saja yang ada depan mata. Jangan tunggu peluang datang kepada kita," katanya ketika ditemu bual dalam Dialog Anak Muda terbitan Astro AWANI.
Dalam masa yang sama, Liyana turut menekankan keperluan untuk mewujudkan peluang pekerjaan bermakna kepada belia disetiap daerah dalam negara. Bukan semata-mata tertumpu di bandar-bandar utama.
"Di Kedah (peluang kerja) yang utama adalah di Alor Setar. Jadi banyak penjawat awam yang kerja di Alor Setar berulang-alik ke Sungai Petani. Ini suatu yang biasa bagi mereka sama seperti berulang-alik dari Shah Alam ke Kuala Lumpur.
"Kita mesti bawa sesuatu untuk Sungai Petani kerana kalau diikutkan populasi Sungai Petani ialah 600,000. Tetapi kebanyakan mereka berulang-alik ke Pulau Pinang dan Alor Setar. Ini kerana peluang pekerjaan di Sungai Petani sangat sedikit," jelasnya.
Liyana berkata bidang keusahawanan bukanlah untuk semua orang. Oleh yang demikian, mencipta peluang perkerjaan ini penting bagi tujuan pembangunan masa depan belia.