Belia rasuah: Kenakan hukuman semaksimum mungkin - Akhbar Satar

Hilal Azmi
Julai 8, 2018 09:58 MYT
AKHBAR SATAR: Hukuman semaksimum mungkin buat belia pelaku rasuah mampu beri pengajaran. - Gambar fail
Presiden Transparency International Malaysia (TI-M), Datuk Akhbar Satar mahu pesalah rasuah terutamanya membabitkan golongan belia dikenakan hukuman semaksimum mungkin.
Katanya, langkah itu sebagai tindakan drastik dalam usaha mendidik dan memberi kesedaran kepada masyarakat bagi mengelak perlakuan yang tidak berintegriti.
"Pada 2007, kita dapati bahawa BPR (Badan Pencegah Rasuah) pada waktu itu dengan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) telah menjalankan satu kaji selidik di kalangan pelajar-pelajar IPTA, didapati 30.5 peratus mengatakan bahawa bila mereka mempunyai kuasa dan peluang, semasa bekerja nanti, mereka sanggup terima rasuah.
"Dapatan terbaru Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pula membuktikan ia benar-benar berlaku selepas membabitkan 55.2 peratus belia yang merupakan pesalah laku rasuah," katanya ketika dihubungi Astro AWANI.
Jelas beliau, strategi jangka pendek sebagai pengajaran ialah dengan menangkap, mendakwa dan penjarakan mereka dengan hukuman paling maksimum.
"Selain itu, kita perlu lihat balik sistem pendidikan terutama sekali di peringkat sekolah tadika.
"Perkara seperti integriti perlu dipertingkatkan di samping ibubapa dan penjaga perlu sentiasa menunjukkan contoh yang baik kepada anak-anak mereka," jelasnya.
Bagi Akhbar, situasi ini amat membimbangkan malah usaha memerangi rasuah wajar dipergiatkan bagi meningkatkan persepsi dunia kepada Malaysia.
"Saya sangat kecewa kerana Malaysia dipandang rendah akibat perlakuan rasuah sedangkan satu masa dahulu, kita merupakan antara negara yang paling dihormati masyarakat dunia," katanya lagi.
Pada Sabtu, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail mendedahkan, bagi tempoh 2013 sehingga Mei lepas, sebanyak 2,238 orang atau 55.2 peratus pesalah laku rasuah adalah daripada golongan belia.
BACA: Trend salah laku rasuah di kalangan belia menurun - Dr Wan Azizah
BACA: KBS garis tiga cadangan banteras rasuah di kalangan belia
Bagi beliau, keadaan itu amat membimbangkan memandangkan mereka adalah golongan pemimpin negara pada masa hadapan.
#Akhbar Satar #Astro #Astro Awani #Azizah #Belia #belia rasuah #Dr Wan Azizah Wan Ismail #integriti #Malaysia #menteri #pendidikan #Perdana Menteri #presiden #Rasuah #sekolah #SPRM #Timbalan Perdana Menteri #Wan Azizah #Wan Azizah Wan Ismail