Belia perlu tingkat minat dalam ekonomi digital - Khairy

Bernama
Oktober 4, 2014 18:24 MYT
KHAIRY: Belia perlu tingkat minat dalam ekonomi digital - Gambar fail
Golongan belia perlu meningkatkan minat terhadap ekonomi digital agar dapat melibatkan diri dalam sektor keusahawanan sekali gus melonjakkan pendapatan mereka, kata Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin Abu Bakar.
Beliau berkata para belia juga perlu terlibat dalam usaha pembangunan aplikasi serta permainan digital dan bukan sekadar menjadi peserta dalam permainan.
Katanya, ekonomi digital juga bukan hanya untuk diceburi oleh graduan Teknologi Maklumat (IT) malah graduan bidang lain juga memandangkan ia bakal menjadi pemacu utama perkembangan ekonomi negara.
"Lepas ini, kita tidak hanya ingin melihat anak-anak kita memilih kerjaya tradisi seperti doktor, jurutera dan peguam, tetapi mereka perlu terlibat dalam sektor baharu seperti ekonomi digital ini.
"Ini adalah kerana sektor ini akan menambah baik produktiviti dan meningkatkan kualiti hidup golongan itu termasuk memberikan pendapatan lumayan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan seminar 'Digital Campus 2014' di sini, hari ini.
Digital Campus 2014 anjuran Youth on Unity (Y.O.U.) merupakan seminar, bengkel, pertandingan permainan digital dan robotik yang berlangsung selama tiga hari bermula Jumaat, di Pusat Konvensyen Sunway Pyramid di sini.
Mengulas pengajuran program yang julung-julung kali diadakan itu, beliau berkata ia merupakan platform terbaik dalam mendedahkan anak muda Malaysia dengan amalan terkini berkaitan ekonomi digital.
Turut hadir Pengerusi Y.O.U., Mohd Nazifuddin Mohd Najib.
Khairy turut mencadangkan agar aspek literasi digital dijadikan kurikulum dalam pendidikan negara agar kanak-kanak seawal usia terdedah dengan ilmu berkaitan industri kreatif dan multimedia.
#campus #digital #IT #KHAIRY #konvensyen #Sunway #YOU
;