Belia perlu manfaatkan media sosial untuk luaskan jaringan profesional - Koordinator Demokrat UKM

Irfan Faruqi
Oktober 6, 2023 13:21 MYT
Nadhilah Mohamad Yusof berkata jaringan professional merupakan langkah awal bagi mencari peluang dalam sektor pekerjaan formal. - Astro AWANI
KUALA LUMPUR: Belia perlu memanfaatkan platform media sosial untuk meluaskan jaringan kenalan dalam bidang profesional yang diminati.
Koordinator Demokrat Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Nadhilah Mohamad Yusof berkata, ia merupakan langkah awal terbaik bagi mencari peluang dalam sektor pekerjaan formal.
“Pada pandangan saya, sektor pekerjaan formal memang kita sudah didedahkan di peringkat institusi pengajian atau ibu bapa. Tetapi untuk anak-anak muda celik mengenai keseluruhan sektor pekerjaan formal, mereka perlu ada lebih banyak jaringan.
“Ia boleh bermula di mana-mana sahaja. Sekarang kita boleh lihat di media sosial, kita boleh berhubungan dengan syarikat-syarikat besar dan boleh cari pekerjaan dalam sektor formal melalui media sosial sahaja,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam program Dialog Anak Muda yang menyentuh mengenai Pelan Kebangsaan Pemerkasaan Ekonomi Belia seperti yang diumumkan oleh Perdana Menteri pada September lalu.
Terdahulu, semasa membentangkan Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-12 (KSP RMK12), Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata pelan tersebut akan diluncurkan dengan tumpuan untuk meningkatkan kebolehpasaran belia bagi mereka yang menganggur.
Perdana Menteri turut menyorot angka pengangguran dalam kalangan belia berusia 15 hingga 24 tahun yang berada pada tahap membimbangkan, iaitu sebanyak 10.7 peratus.
#Perdana Menteri #Anwar Ibrahim #Belia #Pelan Kebangsaan Pemerkasaan Ekonomi Belia #jaringan professional