Belia perlu kreatif manfaatkan sumber untuk menggerakkan persatuan - Adam Adli
Bernama
Jun 1, 2024 20:46 MYT
Jun 1, 2024 20:46 MYT
ALOR SETAR: Golongan belia perlu lebih kreatif dan bijak memanfaatkan sumber bukan kewangan untuk menggerakkan persatuan masing-masing bagi memastikan peruntukan yang diterima mampu memberi impak yang besar walaupun jumlahnya minimum.
Timbalan Menteri Belia dan Sukan Adam Adli Abdul Halim berkata isu dana persatuan yang tidak mencukupi sering dibangkitkan setiap kali sesi pertemuan dengan pertubuhan belia dan ia merupakan antara cabaran kementerian sejak dahulu.
"Berdasarkan pengalaman, sentiasa ada cabaran terutama dalam nak tampung perbelanjaan sampai ke peringkat daerah, sentiasa akan rasa tidak cukup, sentiasa nak lebih banyak (peruntukan). Cabarannya juga bagaimana nak pastikan setiap perbelanjaan ada impak tinggi dengan perbelanjaan yang minimum?.
"Jadi persatuan perlulah kreatif dan manfaatkan setiap sumber bukan kewangan termasuk sumber manusia, bakat-bakat dan akses serta jaringan yang ada di daerah masing-masing," katanya kepada pemberita selepas mengadakan sesi dialog bersama belia sempena Program Kembara Jumpa Orang Muda (Kembara JOM) di sini, hari ini.
Menurutnya golongan belia juga boleh meneroka pelbagai dana yang bukan sahaja ditawarkan di bawah Kementerian Belia dan Sukan (KBS), malah di kementerian lain sekiranya bersesuaian.
"Kita kena tingkatkan kesedaran dan promosi sebab golongan belia ni akan cari KBS sahaja, kena promosikan juga dana-dana yang wujud dalam kementerian lain agar mereka memanfaatkannya," katanya.
Sementara itu Adam Adli berkata KBS menerima banyak input positif sepanjang sesi Kembara JOM, yang merupakan platform bagi mendapatkan maklum balas serta pandangan terhadap Pelan Transisi Kepimpinan Belia di negara ini, sejak ia dilancarkan di Melaka Februari lepas.
"Setiap input yang kita peroleh dalam kembara ini, akan didokumentasikan dan buat laporan lengkap... Dengan pendekatan ini juga, kita dapat bantu pertubuhan belia untuk aktifkan pergerakan mereka di peringkat daerah dan bantu sedikit sebanyak proses transisi," katanya menambah input juga boleh dijadikan panduan untuk merancang program masa depan dan dasar belia.
Kembara JOM dilancarkan bagi membolehkan pemegang taruh belia menyampaikan maklum balas serta pandangan terhadap draf pelan secara terus kepada kepimpinan tertinggi KBS dan ia akan diguna untuk memuktamad pelan yang bakal menjadi pemacu pelaksanaan pindaan kepada Akta Pertubuhan Belia dan Pembangunan Belia 2007 (Akta 668).
-- BERNAMA