Belia perlu jadi 'mata dan telinga' pihak berkuasa - Tajuddin

Bernama
Mei 14, 2017 00:58 MYT
Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman meminta persatuan-persatuan belia menjadi ''mata dan telinga" untuk membantu menangani masalah sosial. - Gambar fail
Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman meminta persatuan-persatuan belia menjadi ''mata dan telinga'' kepada pihak berkuasa untuk membantu menangani masalah sosial di setiap kawasan Parlimen.
Sebagai contoh, Tajuddin yang juga Anggota Parlimen Pasir Salak berkata persatuan belia di kawasannya telah menubuhkan skuad prihatin bagi membantu kerajaan bukan sahaja dalam kerja-kerja kemasyarakatan malah, dalam usaha membendung masalah sosial seperti penyalahgunaan dadah.
"Kalau kita nak serahkan sebulat-bulatnya kepada polis, itu tidak mungkin sebab mereka tak boleh nak memantau seluruh pelusuk kampung. Sebaliknya, belia lebih mengetahui apa yang terjadi di dalam kawasan mereka," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Skuad Prihatin Belia Felcra Seberang Perak di sini, pada Sabtu.
Tajuddin turut meminta skuad berkenaan supaya membantu pihaknya mengenal pasti mana-mana penduduk di kawasan itu yang memerlukan bantuan.
"Para belia adalah aset kepada masyarakat dan negara. Usaha yang mereka lakukan ini adalah sangat baik bagi meringankan beban mereka yang memerlukan," katanya.
Terdahulu, Tajuddin bersama-sama lebih 150 anggota Skuad Prihatin Belia Felcra Seberang Perak menziarahi tujuh keluarga kurang bernasib baik dan menghulurkan bantuan termasuk kerusi roda, wang tunai serta barangan keperluan harian.
-- BERNAMA
#Belia #Datuk Seri Tajuddin #kerja kemasyarakatan #masalah sosial #Parlimen #Pasir Salak