Belia perlu faham sistem politik dan kaedah pilih kerajaan - Najib
Astro Awani
Mei 25, 2013 23:57 MYT
Mei 25, 2013 23:57 MYT
Golongan belia perlu memahami sistem politik dan kaedah memilih kerajaan seperti yang termaktub dalam perlembagaan negara.
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata pemilihan kerajaan perlu melalui peti undi dan bukan melalui demonstrasi jalanan.
Jelasnya perlembagaan negara telah menetapkan sistem demokrasi berparlimen yang memperuntukkan parti politik memiliki kerusi terbanyak dalam pilihanraya untuk mentadbir negara.
"Kita tidak pilih sistem berdasarkan Presidential Election dimana undi popular akan menentukan siapa akan jadi presiden sebab kita bukan ada sistem presidential election,”
“Saya boleh bertanding dengan Anwar Ibrahim tak ada problem tetapi kita memilih sistem demokrasi berparlimen,” katanya ketika merasmikan Festival Belia di sini.
Jelas Najib golongan belia yang ingin menuntut perubahan disaran berpandukan kepada perlembagaan dan undang-undang.
Belia juga harus berfikiran rasional dalam menilai maklumat diterima.
"..dan mesti mempunyai kemampuan untuk berfikir secara waras dan rasional umpamannya bukan semua dalam internet dan media sosial adalah benar dan bukan semua dalam media utama itu merupakan propaganda kerajaan," katanya lagi
Tambah Najib lagi, belia perlu bijak membezakan perkara yang benar atau tidak terutama di laman sosial.
Najib turut memberi jaminan pentadbiran barisan nasional akan terus mendengar suara dan pendapat golongan belia
Dalam masa sama Najib berkata dakwaan Pakatan Pembangkang bahawa Barisan Nasional mencuri kemenangan dalam Pilihan Raya Umum ke-13 lalu tidak benar.
Jelasnya pembangkang yang sering melaungkan berlakunya penipuan sehingga kini gagal menunjukkan bukti malah tidak membuat aduan rasmi kepada Suruhanjaya Pilihanraya, SPR .
"Sampai hari ini tunjuk saya dimana ada Mat Bangla yang jadi pengundi, tunjuk Mat Bangla yang jadi pengundi tunjukkan, di pusat mana mereka yang telah datang dari Bangladesh telah jadi pengundi, buktikan, sampai sekarang ini tidak ada bukti sama sekali" ujarnya lagi.
Pakatan Pembangkang sebelum ini mendakwa Barisan Nasional membawa masuk 40 ribu pengundi hantu dari Bangladesh pada pilihanraya lalu.