Belia perlu bijak uruskan kewangan - Presiden MBM
Haider Yutim
Disember 17, 2013 07:00 MYT
Disember 17, 2013 07:00 MYT
Presiden Majlis Belia Malaysia (MBM) Mohamed Maliki Mohd Rapiee perpendapat bahawa golongan belia perlu bijak menguruskan kewangan mereka bagi menangani masalah kos sara hidup yang tinggi.
"Bagi (penyelesaian) jangka pendek ialah pengurusan kewangan individu itu sendiri. Maknanya mereka kena ukur baju di badan sendiri dan dalam masa yang sama jimatkan perbelanjaan untuk mencari sesuatu yang lebih murah bagi diri mereka," kata beliau dalam sesi temubual pada AWANI 7.45, pada Selasa.
Sebagai contoh, katanya individu yang belum mampu untuk memiliki kenderaan sendiri haruslah korbankan diri mereka dengan menggunakan pengangkutan awam.
"Ini yang paling penting kerana banyak kes orang-orang muda yang terperangkap dengan gaya hidup yang melebihi kemampuan kewangan (mereka)," katanya.
Selain itu, Maliki juga berkata tanggapan bahawa seseorang itu perlu tinggal di bandar-bandar besar adalah suatu tanggapan yang salah.
Katanya, mereka perlu pilih lokasi tempat tinggal di mana kos perbelanjaan itu kurang dan sewanya murah.
Selain itu, ujar beliau inovasi dan kreaviti juga penting untuk membantu mereka menyelesaikan masalah bebanan kos.
"Bakat yang ada empat tahun di peringkat universiti... mereka kena gunakan lebih ramai rangkaian, lebih ramai orang yang boleh bantu meraka dalam bidang yang diceburi supaya sedikit-sedikit mereka boleh gunakan bakat yang ada," tambahnya lagi.
Sementara itu, penyelia agensi Public Mutual Berhad, Qhairul Al-Haffidz berkata antara penyebab golongan belia menghadapi masalah bebanan kos ialah kerana mereka sering membelanjakan wang mereka di tempat-tempat yang tidak sepatutnya.
Katanya, ramai yang terlalu mengikut kemahuan berbanding dengan apa yang mereka perlu iaitu keperluan asas dan sebagainya.
Atas kebimbangan golongan belia berhubung isu kenaikan kos sara hidup, Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin Abu Bakar telah memaklumkan akan menyuarakan isu tersebut pada mesyuarat Kabinet Rabu ini.
Menurutnya, perkara tersebut perlu dibangkitkan di peringkat Jemaah Menteri supaya tidak ada tekanan dalam kalangan rakyat.