Belia penentu usaha banteras rasuah, tangani isu integriti

Bernama
Disember 15, 2024 05:40 MYT
Golongan belia khususnya penuntut IPT yang bakal mentadbir dan menerajui negara pada masa hadapan, akan menjadi penentu dalam usaha membanteras gejala rasuah serta menangani isu integriti dalam kalangan masyarakat. - Foto hiasan
KUANTAN: Golongan belia khususnya penuntut institut pendidikan tinggi (IPT) yang bakal mentadbir dan menerajui negara pada masa hadapan, akan menjadi penentu dalam usaha membanteras gejala rasuah serta menangani isu integriti dalam kalangan masyarakat.
Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Azmi Kamaruzaman berkata, sehubungan itu, golongan muda perlu menjadi ejen perubahan sekali gus membangunkan Malaysia ke arah yang lebih baik.
"Mungkin anda generasi Z sekarang tidak nampak tetapi cuba buka minda seluasnya dan anda akan nampak ke mana hala tuju negara jika isu integriti tidak ditangani.
"Jika dilihat negara-negara maju yang dapat menangani isu integriti, mereka akan maju berbanding kita yang sudah bertahun tidak selesai," katanya berucap pada Majlis Penutupan Program Kem Angkatan Mahasiswa Antirasuah (AMAR) IPT Zon Timur 2024 di Akademi Maritim Sultan Ahmad Shah (AMSAS), di sini, pada Sabtu.
Bertemakan ''Mahasiswa Tolak Rasuah, Penggerak Negara MADANI", Kem AMAR diadakan dengan kerjasama Bank Pembangunan Malaysia Berhad (BPMB) dan SPRM dengan fokus mendidik pelajar berkaitan rasuah, meningkatkan tingkah laku beretika dan membangunkan pemimpin masa hadapan berintegriti.
Berlangsung tiga hari bermula Jumaat lepas di Lagoona Villa Resort, Cherating di sini, program itu disertai 88 pelajar IPT dan kolej dengan pengisian pelbagai aktiviti seperti bengkel, seminar dan sesi interaktif.
Azmi berkata, golongan belia hari ini akan berdepan dengan situasi sebenar apabila mereka memasuki alam pekerjaan mahupun pentadbiran negara dengan pelbagai cabaran termasuklah perihal integriti.
Beliau berkata, bagaimanapun, pada masa ini lebih mudah untuk menyalurkan aduan berkaitan salah laku atau rasuah kerana terdapat pelbagai saluran antaranya menerusi media sosial dan talian hotline berbanding sebelum ini yang hanya menggunakan talian telefon.
Sementara itu, Pengarah Bebas Bukan Eksekutif BPMB, Dr Othman Abdullah berkata, kem seumpama itu perlu dilaksanakan dengan mengambil kira statistik bahawa golongan belia turut terlibat dengan salah laku integriti dan rasuah.
"Kajian Universiti Putra Malaysia (UPM) pada 2021, mendapati 14.3 peratus mahasiswa pernah ditawarkan rasuah dan 2.5 peratus daripada mereka menerimanya.
"Selain itu, statistik SPRM menunjukkan 85 belia berusia 17 hingga 24 tahun, ditangkap atas kesalahan rasuah antara 2018 hingga 2022 dan ia membuka mata kita (kes rasuah belia tidak boleh dipandang ringan," katanya ketika membacakan teks ucapan Pengerusi BPMB, Datuk Sulaiman Mohd Tahir.
Othman berkata, meskipun data itu bukan terkini, ia tetap menjadi peringatan betapa pentingnya peranan dalam usaha memerangi isu berkenaan. - BERNAMA
#golongan muda #Belia #SPRM #Rasuah #integriti
;