Belia manfaatkan bantuan beli barangan keperluan asas, pembelajaran dalam talian
Bernama
Jun 3, 2021 12:14 MYT
Jun 3, 2021 12:14 MYT
JOHOR BAHRU: Kebanyakan pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) di negeri ini memanfaatkan bantuan eBelia yang disalurkan oleh kerajaan sebanyak RM150 kepada belia dan pelajar IPT baru-baru bagi membeli barangan keperluan asas dan barangan pembelajaran dalam talian.
Mohamad Ali B M Samsul Bahari, 22, misalnya, membeli kelengkapan pembelajaran dalam talian seperti lampu belajar dan tripod bagi memudahkan proses pembelajarannya di rumah.
"Saya baru sahaja tebus (bantuan itu) melalui Touch 'n Go eWallet. Saya juga dapat membeli sebahagian keperluan rumah di kedai bagi membantu ibu bapa saya," kata pelajar berusia 22 tahun itu apabila dihubungi Bernama, di sini hari ini.
Seorang lagi pelajar, Mohammad Syahmi Nawawi, 24, pula berkata inisiatif itu sangat membantu golongan belia sepertinya untuk menampung pembelian barangan keperluan asas di rumah.
Penggunaan platform seperti Shopee mahupun e-dompet turut menggalakkan transaksi dalam talian selaras dengan usaha kerajaan dalam menggalakkan penggunaan ke arah dunia digitalisasi, katanya.
Bagi Nor Amirah Jamaludin pula, bantuan yang diterima itu sedikit-sebanyak dapat membantu mengurangkan beban kedua ibu bapanya dari segi pemberian duit poket untuk dirinya sebagai seorang pelajar.
"Sebelum ini, saya bergantung pada duit belanja yang diberikan oleh ibu bapa saya untuk membeli keperluan seperti barangan rawatan diri dan keperluan pelajaran, tapi untuk kali ini saya dapat mengurangkan beban mereka dengan menggunakan bantuan ini.
"Saya juga berhasrat untuk menyimpan sebahagian daripada bantuan itu," katanya lagi.
Program eBelia merupakan antara inisiatif yang telah diumumkan pada Belanjawan 2021, bertujuan meringankan beban kewangan selain menggalakkan perbelanjaan secara tanpa tunai dalam kalangan belia serta pelajar sepenuh masa di IPT tempatan berdaftar.
-- BERNAMA
#Belia
#Institusi Pengajian Tinggi
#IPT
#pelajar
#Belanjawan 2021
#keperluan asas
#pembelajaran
#dalam talian
#Program eBelia
#Tanpa Tunai
#perbelanjaan