Belia Malaysia tidak putus sokongan kepada etnik Rohingya

Hasimi Muhamad
Disember 18, 2019 12:45 MYT
Zafar ketika membentangkan Resolusi Kluster Projek Khas, pada hari terakhir Sidang Kemuncak Belia Kuala Lumpur hari ini. Foto Astro AWANI
Ketika banyak pihak dilihat menggabaikan nasib etnik Rohingya, namun golongan belia di negara ini tidak pernah berhenti menyuarakan sokongan terhadap nasib yang menimpa kumpulan itu.
Perkara itu diluahkan Presiden Pertubuhan Hak Asasi Manusia Etnik Rohingya Myanmar Malaysia (MERHROM), Zafar Ahmad Abdul Ghani pada hari terakhir Sidang Kemuncak Belia Kuala Lumpur (Youth KL Summit), hari ini.
Tegasnya, sokongan yang diberikan oleh belia di negara ini diharap dapat didengari oleh masyarakat antarabangsa.
“Kami cuba untuk membawa isu ini kepada Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) tetapi kita berdepan dengan pelbagai cabaran.
“Saya berharap ummah (seluruh dunia) boleh bersama-sama untuk membantu membaiki situasi kami,” katanya pada sesi Pembentangan Resolusi Kluster Projek-Projek Khas, di sini, hari ini.
Zafar Ahmad menambah keadaan semakin tegang khususnya dengan tentera selepas mereka mengetahui terdapat usaha membawa isu Rohingya ke peringkat ICJ.
Ujarnya, setiap manusia mempunyai hak untuk hidup, namun sebaliknya berlaku kepada etnik Rohingya.
Youth KL Summit merupakan program sampingan daripada Sidang Kemuncak Kuala Lumpur (KL Summit) yang bakal membuka tirai hari ini.
Program dua hari yang bermula pada Selasa menghimpunkan golongan muda dari lebih 50 negara untuk bertukar pandangan menerusi pelbagai platform seperti sesi forum, mesyuarat meja bulat dan perbincangan mengikut beberapa kluster.
Antara Resolusi Kluster Projek-Projek Khas yang dibincangkan termasuk kemanusiaan dan kesukarelawan, teknologi dan kemampanan, ekonomi gig serta kemahiran dan latihan.
#Belia #Malaysia #MERHROM #Myanmar #Rohingya #Sidang Kemuncak Belia Kuala Lumpur #Zafar Ahmad Abdul Ghani
;