Belia Malaysia dipelawa sertai Program Diplomat Belia EU-ASEAN

Bernama
Disember 9, 2022 16:18 MYT
Tarikh tutup permohonan kini dilanjutkan kepada 8 Jan tahun depan, menurut satu kenyataan kedutaan kepada Bernama. - gambar Facebook Malaysian Youth Association for Diplomacy
KUALA LUMPUR: Perwakilan Kesatuan Eropah (EU) ke kedutaan Malaysia di sini mempelawa pelajar Malaysia berumur 18 hingga 25 tahun di seluruh negara untuk menyertai Program Diplomat Belia EU-ASEAN (EAYDP).
Tarikh tutup permohonan kini dilanjutkan kepada 8 Jan tahun depan, menurut satu kenyataan kedutaan kepada Bernama.
EAYDP yang menghimpunkan pemimpin masa depan Malaysia itu dianjurkan bersempena ulang tahun ke-45 hubungan EU-ASEAN.
Program itu memberi peluang kepada 45 peserta belia terpilih dari universiti-universiti di Malaysia yang menunjukkan minat dan berpotensi dalam membuat perubahan menerusi saluran hal ehwal luar dan serantau.
"EAYDP merupakan satu platform untuk belia menyuarakan pandangan mereka mengenai isu-isu berkaitan kedua-dua blok serantau.
"Kami amat mengalu-alukan penyertaan delegasi belia di EAYDP dan mendengar aspirasi anda untuk masa depan lebih baik yang dibina atas perkongsian EU-ASEAN yang kukuh," kata Duta EU ke Malaysia, Michalis Rokas dalam kenyataan itu.
Program tajaan sepenuhnya EU itu menyediakan tiga kursus latihan dalam talian yang dikendalikan pakar EU dan ASEAN dengan para peserta diberikan panduan mengenai penyelidikan, penggubalan dasar dan pengucapan awam.
Peserta kemudian akan turut serta dalam Sidang Kemuncak Belia EU-ASEAN pada 17-19 Feb tahun depan di Kuala Lumpur dalam satu "mock session" membabitkan 27 negara EU dan 10 negara ASEAN.
Masing-masing akan mewakili EU atau Negara Anggota ASEAN untuk membincangkan isu membabitkan kepentingan serantau seperti mengenai alam sekitar dan perubahan iklim serta hak asasi manusia dan keselamatan di Indo-Pasifik.
Penginapan dan semua perbelanjaan untuk sidang kemuncak tiga hari itu akan ditanggung EU termasuk kos perjalanan untuk peserta dari luar Lembah Klang.
Pemohon yang berjaya akan dipertimbangkan untuk pelbagai peluang pembelajaran dan latihan berterusan bagi menyertai diplomasi awam EU di ASEAN dan dalam negara.
Mereka yang berminat perlu menghantar satu esei tidak melebihi 1,000 patah perkataan dalam bahasa Inggeris mengenai satu daripada dua topik iaitu 'The World We Want' atau 'EU-Malaysia Relations', bersama-sama vitae kurikulum.
EAYDP dianjurkan dengan kerjasama Persatuan Belia Malaysia untuk Diplomasi dan Polisi (MYADP), Pusat Serantau ASEAN Universiti Malaya (CARUM) dan Pusat Penyelidikan Eropah Kebangsaan (NCRE) dengan disokong Dasar EU dan Outreach Partnership in ASEAN Countries (EUPOP ASEAN).
Untuk maklumat lanjut, pemohon boleh melayari laman sesawang http://my-adp.org/eaydp.
-- BERNAMA
#ASEAN #Belia #EU #Program Diplomat Belia EU-ASEAN
;