Belia Malaysia digesa jadi usahawan berinovasi
Bernama
November 12, 2016 10:49 MYT
November 12, 2016 10:49 MYT
Golongan belia Malaysia digesa merealisasikan potensi mereka, termasuk menjadi usahawan berinovasi dan membantu mengukuhkan ekonomi negara.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri Tan Sri Joseph Kurup berkata kerajaan menyediakan platform yang sesuai bagi menggalakkan keusahawanan.
Beliau menyebut mengenai peruntukan RM1.52 bilion yang dicadangkan di bawah Bajet 2017 bagi memperkasakan ekonomi Bumiputera.
"Justeru itu, golongan muda, terutama Bumiputera perlu mengambil peluang ini untuk bekerja sendiri, mencipta pekerjaan dan bukan sebaliknya menjadi pencari kerja," katanya dalam ucapan beliau pada majlis Makan Malam Gala 100 Usahawan Muda Paling Berpengaruh (100 MIYE) 2016 di sini, malam ini.
Turut hadir ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Joseph Entulu Belaun dan Ketua Pengarah Jabatan Kastam Datuk Seri Khazali Ahmad.
Antara 100 MIYE yang mendapat pengiktirafan malam ini atas pencapaian mereka ialah pengasas D'Herbs Datuk Aliff Syukri Kamarzaman, Pengarah Urusan Naim Indah Corporation Bhd Datuk Seri Siaw Swee Hin, Pengasas Fizo Omar Channel Fizo Omar, dan aktres popular serta usahawan butik House of Doll, Nur Fazura Sharifuddin.
Pada majlis itu Kurup juga melancarkan buku bergambar 100 MIYE yang mengiktiraf golongan muda Malaysia yang membawa kesan besar dalam bidang mereka masing-masing seperti sosial, ekonomi dan seni. - BERNAMA