Belia main peranan hapus 'virus' rasuah - Rasuah Busters

Eton Khir
April 20, 2022 23:54 MYT
Nurhayati Nordin, berkata anak muda tidak harus ragu-ragu terhadap keupayaan mereka untuk membentuk masyarakat Malaysia yang bebas rasuah. - Gambar/ Astro AWANI
SHAH ALAM: Golongan belia harus memainkan peranan penting dalam agenda menghapuskan 'virus' rasuah yang mampu mencacatkan pembangunan dan kemajuan negara di arena global.
Ketua Pegawai Eksekutif Rasuah Busters, Nurhayati Nordin, berkata anak muda tidak harus ragu-ragu terhadap keupayaan mereka untuk membentuk masyarakat Malaysia yang bebas rasuah.
Jelasnya, kurangnya pemahaman tentang pelbagai bentuk rasuah menyebabkan golongan belia mudah terjebak tanpa disedari.
"Kita tahu belia adalah aset negara, jadi amat penting untuk kesemua kita menggembleng segenap tenaga untuk mengangkat dan mendidik golongan belia ini menjadi potensi kepada pembangunan negara agar gejala rasuah menjadi satu topik atau agenda terpenting dalam pembangunan belia itu sendiri," katanya.
Beliau berkata demikian selepas majlis temu mesra Rakan Gabungan #Rasuahbusters pada Rabu.
Hadir sama ialah Pengerusi Kumpulan Karangkraf, Datuk Hussamuddin Yaacub; Ketua Pengarang Sin Chew Daily, Kuik Cheng Kang; Ketua Pengarang Astro AWANI, Ashwad Ismail; Pengarang Berita Sinar Harian, Junhairi Alyasa; Pengarang Sinar Daily, Tasnim Lokman dan ahli pasukan teras Rasuah Busters, Dr G Manimaran.
Sementara itu, Nurhayati berkata pindaan undang-undang pencegahan rasuah perlu selaras dengan peredaran masa, pembangunan negara dan perkembangan ekonomi serta politik.
Katanya, wakil rakyat juga perlu memainkan peranan dalam menggubal polisi berkaitan dalam memerangi rasuah.
"Apa yang kita tekankan di sini adalah seorang Yang Berhormat (wakil rakyat) sebenarnya adalah mereka yang bertanggunjawab melaksana dan membuat dasar polisi untuk kebajikan rakyat.
"Jadi bukanlah dengan gelaran tersebut kita meletakkan kedudukan itu terlalu tinggi sehingga boleh mengaburi tanggungjawab-tanggujawab sebenar yang diletakkan rakyat sebagai mandat kepada mereka.
"Keadaan inilah sebenarnya yang menyebabkan kita tersasar daripada apa yang dirancang," katanya.
Mengulas lanjut, Nurhayati berkata, hanya dua daripada enam tuntutan politik dapat dicapai Rasuah Busters setakat ini, iaitu pelaksanaan dan pemerkasaan Undi18 serta memperkenal dan mengadakan pilihan raya pecat sebagai alternatif segera kepada Akta Antilompat Parti.
Empat tuntutan lain yang diperjuangkan Rasuah Busters yang terdiri daripada lebih 500 rakan gabungan adalah pelaksanaan dan sokongan penuh ke atas Pelan Antirasuah Nasional (NACP), pelaksanaan Akta Pembiayaan Dana Politik, kebebasan dan ketelusan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Jabatan Peguam Negara serta melaksanakan reformasi Parlimen.
#Belia #rasuah busters #wakil rakyat #Nurhayati Nordin
;