'Belia lebih hargai insentif pengalaman kerja berbanding wang tunai' - Graduan
Irfan Faruqi
Mac 11, 2023 12:10 MYT
Mac 11, 2023 12:10 MYT
KUALA LUMPUR: Generasi belia hari ini lebih sanggup bersusah-payah mendapatkan kerja berbanding mengharapkan bantuan tunai sekali beri.
Oleh itu, kerajaan disaran menumpukan kepada inisiatif yang mendatangkan pendapatan tetap kepada belia untuk menyara diri dan keluarga.
Graduan Jurutera Aeorangkasa, Faris Idris berkata pengumuman pelaksanaan program MySTEP menerusi Belanjawan 2023 adalah suatu yang sangat baik.
Ini kerana, program tersebut memberikan nilai pengalaman bekerja yang diperlukan belia.
"Sepatutnya kita perlu beri lebih banyak pendedahan kepada belia-belia mengenai program ini. Khususnya untuk belia yang tidak ada keyakinian untuk menceburi perniagaan. Program seperti MySTEP ini sangat membantu sebenarnya.
"Walaupun gajinya tidaklah besar. Sekurang-kurangnya Belanjawan 2023 ini dinaikkan RM100 daripda RM2000 kepada RM2100. Namun, itu sangat memberi bantuan dan faedah kepada belia berbanding mereka terus menganggur." katanya dalam program Dialog Anak Muda terbitan Astro AWANI.
Oleh yang demikian, Faris menyeru belia yang masih mencari kerja untuk tidak terlalu memikirkan sasaran kerjaya idaman yang sukar dicapai.
Sebaliknya, untuk waktu ini beliau sarankan agar belia ambil manfaat daripada inisiatif sedia ada.
Jelasnya lagi, insentif tunai kepada belia tidak akan menyelesaikan punca permasalahan yang dihadapi mereka secara menyeluruh.
Belia hari ini mula berfikiran lebih jauh kedepan berbanding hanya kemudahan jangka masa pendek.
"Kami ada tanggungjawab untuk menyara keluarga. Kita juga tahu Malaysia sudah ke arah negara menua. Maka mereka perlu mencari kerja dan raih pendapatan cukup untuk sara keluarga. Jadi inisiatif (tunai sekali beri) ini tidak memberi kesan yang baik keapda mereaka.
"Sebab itulah mereka lebih sanggup berkerja. Lihat industri gig, disertai oleh sangat ramai belia, walaupun industri ini tidak beri jaminan jangka masa panjang. Namun, mereka tetap ingin mencari pendapatan yang baik untuk menyara diri dan keluarga mereka." tambahnya.