Belia disaran aktif bertani dalam usaha perkayakan sumber makanan

Bernama
April 23, 2017 07:00 MYT
Datuk Seri Mohamad Hasan bersama Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek melawat pameran sempena Majlis Perasmian My Kampung My Future Kundur Hulu pada Ahad. --fotoBERNAMA
Golongan belia diseru mengusahakan pertanian di luar bandar dalam usaha memperkasa industri asas tani agar dapat memperkayakan lagi sumber makanan di negeri ini.
Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Mohamad Hasan berkata usaha ini dilihat dapat membantu dalam mengurangkan kebergantungan terhadap sumber makanan dari luar.
"Industri pertanian yang menjadi sumber makanan asasi seharusnya tidak dipandang ringan ke arah menjadi sebuah negara maju dan adalah lebih baik sekiranya ia bukan sahaja boleh menjadi sumber makanan di dalam negeri itu sendiri bahkan boleh menjadi sumber makanan kepada negeri lain.
... dengan mengusahakan industri pertanian di luar bandar ia dapat menambah sumber pendapatan penduduk di sesebuah kampung sekali gus mengurangkan penghijrahan belia ke bandar yang sebelum ini disebabkan tiadanya peluang pekerjaan dan kemudahan yang terhad dan sebagainya," katanya.
Keutamaan kerajaan juga supaya belia terus tinggal di kampung masing-masing, agar tiadalah ibu bapa yang terabai dan dalam masa sama mereka ada kerjaya yang boleh diusahakan, katanya ketika berucap di majlis perasmian My Kampung My Future (MKMF) Kundur Hulu, di sini, pada Ahad.
Turut hadir Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek dan Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin yang juga merupakan Ahli Parlimen Rembau.
Mengulas lanjut, Mohamad berkata justeru, kerajaan mewujudkan pelbagai program bagi membuka peluang yang luas kepada golongan belia terlibat secara aktif dalam industri asas tani termasuk mewujudkan program MKMF.
"Program ini di bawah Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani telah dijalankan sejak April tahun lepas di Kampung Kundur Hulu, Rembau melibatkan seramai lebih 15 usahawan dengan masing-masing mengusahakan penternakan kambing dan lembu, ladang buluh dan sabak salai.
Meskipun baru bermula, namun ia telah menunjukkan pencapaian baik bagi membantu menaikkan tahap ekonomi penduduk dan dalam tempoh lapan bulan tahun lepas, nilai hasil pengeluaran kampung ini sebanyak RM1.25 juta," katanya.
Beliau berkata program sebegini dapat mencapai matlamat unggul dalam mewujudkan peluang pekerjaan bagi masyarakat dan belia khususnya agar dapat dibangunkan serta mengukuhkan produk hasilan tempatan untuk dipasarkan di ruang lebih meluas serta membuka ruang baru dalam bidang ekonomi.
Dalam pada itu, Mohamad juga berkata tanah adat dan tanah pusaka yang terdapat di negeri ini boleh diusahakan agar ia tidak terus menjadi tanah terbiar yang tidak memberi sebarang manfaat kepada manusia.
Terdahulu, Mohamad dan Ahmad Shabery Cheek menyaksikan majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara kementerian dan Universiti Malaya (UM) yang diwakili Ketua Setiausaha Kementerian Datuk Seri Dr Ismail Bakar manakala UM diwakili Naib Canselor Tan Sri Prof Dr Mohd Amin Jalaludin. --BERNAMA
#Belia #Mohamad Hasan #My Kampung My Future #perkasa industri asas tani #sumber makanan #usahakan pertanian
;