Belia dipelawa sertai MyVAC bantu laksana program PICK - Reezal Merican
Bernama
Mac 16, 2021 16:54 MYT
Mac 16, 2021 16:54 MYT
KUALA LUMPUR: Golongan belia dipelawa menyertai Program Vaccine Support Volunteers (MyVAC) bagi membantu menjayakan pelaksanaan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan dalam memastikan keberkesanannya.
"Jom bantu frontliners kita! Kita bantu rakyat yang memerlukan sepanjang proses imunisasi ini berjalan," kata Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican dalam satu hantaran Facebooknya hari ini.
Beliau berkata MyVAC merupakan inisiatif pendekatan menyeluruh kerajaan dan masyarakat atau "Whole-of-Society Approaches", yang melibatkan pelbagai kementerian serta badan bukan kerajaan (NGO), selaras dengan usaha membendung serta menamatkan pandemik COVID-19 di Malaysia.
"Inisiatif MyVAC ini diterajui oleh Kementerian Belia dan Sukan dan disokong oleh pasukan COVID-19 Immunisation Task Force (CITF), Kementerian Pengajian Tinggi dan Persatuan Bulan Sabit Merah yang juga menguruskan sistem pendaftaran bagi program ini," katanya.
Bagi belia yang berminat, mereka boleh mendaftar di laman web www.myvac.com.my.
-- BERNAMA
#Reezal Merican Naina Merican
#Reezal Merican
#Kementerian Belia dan Sukan
#Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan
#pandemik
#COVID-19
#kerajaan
#sukan
#menteri