Belia, ahli akademik berperanan penting tangani radikalisme - Duta AS
Bernama
Jun 3, 2022 04:00 MYT
Jun 3, 2022 04:00 MYT
KUALA LUMPUR: Golongan belia dan ahli akademik memainkan peranan penting dalam usaha mencegah keganasan, memerangi radikalisme dan ekstremisme, kata Duta Amerika Syarikat ke Malaysia, Brian McFeeters.
Beliau berkata penglibatan keseluruhan masyarakat termasuk kumpulan dan pihak berkepentingan adalah penting dalam menangani cabaran global yang menyaksikan golongan belia khususnya antara paling berisiko untuk berfahaman radikalisme.
Meskipun laporan mengenai serangan pengganas di rantau ini semakin berkurangan, komitmen antara Malaysia dan AS untuk melumpuhkan rangkaian pengganas kekal utuh, katanya.
"Kami percaya dan mengakui bahawa golongan belia amat terdedah kepada ekstremisme ganas, justeru menjadi keutamaan kita untuk memperkasakan dan melengkapkan generasi muda dengan kemahiran yang betul dalam menghadapi ancaman ini.
"Saya amat percaya anak muda kita lebih bersedia menangani cabaran ini dan ia dapat membantu mewujudkan masa depan yang lebih aman dan mampan untuk generasi akan datang," katanya pada majlis pelancaran program Malaysian Youth as Peace Ambassadors (MYPA) 2022 di sini, pada Jumaat.
MYPA 2022, yang berlangsung selama empat hari bermula pada 2 hingga 5 Jun berjaya menghimpunkan lebih 120 pelajar dari lebih 13 institusi pengajian tinggi di seluruh negara bagi membina daya tahan terhadap fahaman radikalisme.
Program itu anjuran Institut Antarabangsa Pemikiran Islam dan Tamadun Universiti Islam Antarabangsa (ISTAC-IIUM), Pusat Serantau Asia Tenggara bagi Menangani Keganasan (SEARCCT), Kedutaan AS di Kuala Lumpur dan organisasi media belia MyKampus Radio (MKR).
Ketua Pengarah SEARCCT Datuk Ganeson Sivagurunathan berkata memandangkan keganasan hari ini adalah rentas sempadan, mustahak bagi SEARCCT untuk memulakan serta mengekalkan penglibatan dengan memanfaatkan platform nasional, serantau dan global yang sedia ada.
Sebagai sebuah entiti di bawah Kementerian Luar, SEARCCT memupuk penglibatan yang konstruktif antara pihak berkepentingan seperti sektor awam, swasta dan masyarakat sivil bagi membina jalinan baharu untuk mencegah dan menentang ekstremisme ganas.
"Saya percaya program ini telah mewujudkan jalinan sedemikian dan telah mengukuhkan visi SEARCCT untuk bekerjasama dengan golongan belia Malaysia bagi membina negara yang lebih cintakan keamanan," tambahnya.
Program ini juga meraikan kepelbagaian etnik dan budaya serta melengkapkan belia Malaysia dengan kemahiran komunikasi dan bercerita, termasuk memanfaatkan platform media sosial bagi menentang ekstremisme ganas.
-- BERNAMA