Belia 4B tawar Mohd Ridhwan calon Presiden Majlis Belia Malaysia

Astro Awani
Januari 9, 2025 23:22 MYT
Pencalonan Mohd Ridhwan dibuat berdasarkan mandat yang telah diberikan oleh para perwakilan semasa Perhimpunan Agung Tahunan Gerakan Belia 4B Malaysia ke-45 pada 8 November tahun lalu. Gambar Belia 4B
KUALA LUMPUR: Gerakan Belia 4B Malaysia mencalonkan Datuk Mohd Ridhwan Mohd Ali untuk bertanding bagi jawatan Presiden dalam Mesyuarat Perhimpunan Agung Tahunan (MPAT) Majlis Belia Malaysia ke-73.
Menurut Belia 4B dalam satu kenyataan, pencalonan tersebut dibuat berdasarkan mandat yang telah diberikan oleh para perwakilan semasa Perhimpunan Agung Tahunan Gerakan Belia 4B Malaysia ke-45 pada 8 November tahun lalu.
"Mandat tersebut mengesahkan Mohd Ridhwan sebagai calon tunggal yang akan mewakili Gerakan Belia 4B Malaysia dalam pemilihan kepimpinan Majlis Belia Malaysia kali ini.
"Dengan pengalaman lebih sedekad dalam memimpin gerakan belia, Mohd Ridhwan diyakini mampu membawa aspirasi baharu yang selaras dengan hala tuju Majlis Belia Malaysia.
"Beliau komited untuk memperjuangkan agenda pembangunan belia, memacu perubahan yang bermakna melalui pendekatan inklusif, merapatkan jurang perbezaan, memperkukuhkan perpaduan, memperhebat usaha kolaborasi, serta membuka peluang lebih luas kepada semua belia Malaysia," menurut kenyataan itu pada Khamis.
MPAT dijadual berlangsung dari 9 hingga 11 Januari depan di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL).
Kenyataan itu menjelaskan, seluruh perwakilan juga diharap dapat memberikan sokongan penuh kepada Mohd Ridhwan dengan menilai pengalaman dan kredibiliti yang dimiliki individu berkenaan.
"Dengan sokongan padu semua pihak, Gerakan Belia 4B Malaysia yakin usaha ini mampu mencorakkan masa depan yang lebih gemilang untuk generasi muda dan negara yang kita cintai," jelas kenyataan itu.
#Belia 4B #majlis belia malaysia #MPAT #calon presiden
;