Belasungkawa: 'Rahmah adalah Salahuddin, Salahuddin adalah Rahmah' - Prof Siva
Astro Awani
Julai 24, 2023 13:27 MYT
Julai 24, 2023 13:27 MYT
KUALA LUMPUR: Amalan politik konsultatif dan sifat berjiwa rakyat yang dimiliki Allahyarham Datuk Seri Salahuddin Ayub perlu diteladani dan dijadikan idola oleh para pemimpin dalam negara.
Menurut Penganalisis Politik Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Sivamurugan Pandian, sikap Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup itu menunjukkan Allahyarham sentiasa mengutamakan kepentingan rakyat dalam menggalas amanah.
Jelas beliau, susur galur dan pengalaman Allahyarham dalam bidang politik juga, yang bermula dari akar umbi sehingga kepimpinan utama dalam parti, memberi paparan bahawa beliau seorang pemimpin yang mengetahui apa yang berlaku di peringkat bawah.
"Sebab itu Allahyarham akan diingat kerana pengorbanan dan bagaimana tindakan beliau sebagai seorang ahli politik itu dilihat bukan sekadar satu pekerjaan, tugasan ataupun tanggungjawab, tetapi sebagai satu amanah yang perlu membawa (kebaikan) kepada rakyat dan bagaimana rakyat itulah yang sebenarnya telah memberikan beliau kedudukan sedemikian rupa.
"Saya percaya contoh inilah yang sedang kita idamkan di dalam telapak kedudukan politik tanah air hari ini.
"Bagaimana parameter yang dibina itu harus berkompaskan kepada teladan yang dibina oleh seorang pemimpin ketika wujudnya keciciran dalam konteks karakter ataupun peribadi keperibadian pemimpin, tapi beliau telah mengangkat dirinya sebagai seorang yang wajar dijadikan sebagai teladan kepada rakyat," katanya kepada Astro AWANI pada Isnin.
Sivamurugan menambah, Allahyarham Salahuddin disifatkan sebagai ahli politik budiman dan mempunyai budi pekerti yang tinggi, sehingga beliau disenangi semua parti politik termasuk pihak lawan.
"Sudah pasti kalau kita bercakap mengenai Allahyarham, kita tidak mengetepikan inisiatif dan sifat di sebalik karakter beliau, rajin, berorientasikan amalan berpasukan, kerjasama dengan yang lain dan mahu melihat tindakan segera diambil.
"Kalau boleh satu perkara yang kita angkat, 'Rahmah adalah Salahuddin, Salahuddin adalah Rahmah'," ujarnya.
Allahyarham Salahuddin menghembuskan nafas terakhir di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) Alor Setar, pada jam 9.23 Ahad malam setelah ditidurkan selepas menjalani pembedahan akibat pendarahan otak.
Salahuddin, yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simpang Jeram, meninggalkan seorang balu bersama empat anak lelaki dan dua perempuan serta 11 cucu.
#Salahuddin Ayub meninggal dunia
#Payung Rahmah
#Rahmah adalah Salahuddin Salahuddin adalah Rahmah
#Sivamurugan Pandian