Belasungkawa: Pemergian 'banker extraordinaire' Tan Sri Teh Hong Piow tiada galang ganti
Astro Awani
Disember 12, 2022 22:36 MYT
Disember 12, 2022 22:36 MYT
BERPENGALAMAN selama 72 tahun dalam industri perbankan dan kewangan, pemergian Tan Sri Teh Hong Piow merupakan kehilangan besar buat negara.
Mendiang menghembuskan nafas terakhir pada usia 92 tahun, tetapi legasi dan kejayaan beliau tiada tolok bandingnya.
Menyelusuri kehidupan tokoh kelahiran Singapura ini, mendiang dilahirkan pada 14 Mac 1930 dan mendapat pendidikan formal di sebuah sekolah methodist di Singapura.
Salah seorang individu terkaya Malaysia ini memulakan kerjaya perbankannya pada tahun 1950.
Teh mengasaskan Public Bank pada tahun 1965 ketika berusia 35 tahun.
Mendiang dilantik sebagai Ketua Pegawai Eksekutif dan pengarah urusan sejak ia mula beroperasi pada 6 Ogos 1966.
Cawangan pertama bank berkenaan terletak di Jalan Gereja di Kuala Lumpur.
Sejak itu, sentuhan dan kepimpinan mendiang membawa evolusi kepada sebuah institusi kewangan moden dan bersepadu.
Kehebatan Teh meletakkan Public Bank kini syarikat kedua terbesar yang disenaraikan di Bursa Malaysia dengan permodalan pasaran RM85 bilion.
Walaupun bersara daripada Public Bank pada tahun 2018, tetapi nama Teh masih sinonim dengan bank berkenaan.
Sejurus melepaskan jawatan pengerusi bukan eksekutif Public Bank, Teh dianugerahkan jawatan pengerusi emeritus dan penasihat kepada bank itu.
Mendiang bersara sebagai pengerusi bukan eksekutif Public Bank pada 2018 dan dilantik sebagai pengerusi emeritus serta penasihat kumpulan itu pada 2019.
Atas percapaian cemerlangnya sebagai 'orang bank', mendiang Ten menerima sekurang-kurangnya 50 anugerah dalam negara dan peringkat antarabangsa sejak tahun 1991.
Daripada Malaysia's CEO of the Year 1998; kepada Banker Extraordinaire 2015, Asia’s Best CEO sehinggalah Anugerah ‘The BrandLaureate Hall of Fame – Lifetime Achievement Award 2018 – Man of The Year' - semua ini pernah digengam oleh mendiang Teh.
Menurut laman web Public Bank, Mendiang Teh juga pegawai bank Malaysia pertama yang pernah menerima Darjah Diraja.
Ia termasuk Darjah Kebesaran Monisaraphon, Komander oleh Kerajaan Diraja Kemboja pada tahun 2016, sebagai pengiktirafan atas kepimpinan cemerlang dan sumbangan ekonomi sosial yang besar terhadap kemajuan dan pembangunan Kemboja sejak lebih dua dekad lalu.
Selain itu, sebagai pengiktirafan atas sumbangan kepada masyarakat dan ekonomi, beliau turut dianugerahkan Ijazah Doktor Undang-undang (Kehormat) oleh Universiti Malaya pada tahun 1989.
Mendiang Teh pernah berucap: "Menjadi seorang usahawan bukanlah mudah, namun menjadi seorang yang memiliki ‘jenama’ memerlukan seseorang itu mempunyai kepercayaan yang teguh terhadap jenamanya."
Semoga jasad mendiang Tan Sri Teh Hong Piow bersemadi dengan aman....