[BELASUNGKAWA] Mengenang Sabbaruddin Chik sebagai ahli politik terbilang negara
Ridauddin Daud
Disember 5, 2021 16:50 MYT
Disember 5, 2021 16:50 MYT
KUALA LUMPUR: Pada 11 Disember ini, genaplah 80 tahun usianya. Namun, takdir penentu segalanya, Allahyarham Tan Sri Sabbaruddin Chik dijemput ke negeri abadi seminggu sebelum hari lahirnya.
Usai pemergiannya, namanya menjadi sebutan, satu-persatu jasanya diungkap dan pastinya ilmu, amalan baik, kasih dan sayangnya menjadi kenangan abadi, bukan sahaja untuk keluarga, untuk sahabat handai juga.
Hampir 50 tahun bersama UMNO, bermula pada 1973, beliau menyaksikan pelbagai rencam di sebalik parti itu, merasakan sendiri kegemilangan parti itu malah di depan mata juga melihat ia tumbang dalam pilihan raya.
Andai mahu diukur jasanya, tidak cukup jari untuk mengira, manakan tidak, Allahyarham bermula dalam perkhidmatan awam pada 1966 sebagai Penolong Setiausaha Negeri Sembilan dan pernah menjadi Konsul Besar Malaysia di Saigon, Vietnam pada 1967.
Pada 1975, Allahyarham dilantik sebagai Pengarah Unit Perancangan di Jabatan Perdana Menteri, sebelum menjadi Pengarah Perdagangan Antarabangsa, Kementerian Perdagangan dan Industri untuk tempoh tiga tahun dari 1976.
Allahyarham diberi kepercayaan menjawat jawatan Timbalan Menteri Kewangan dari 1982-1987 dan sebagai Menteri Kebudayaan, Kesenian dan Pelancongan dari 1987 hingga 1999, sebelum meletak jawatan atas faktor kesihatan.
[TERKINI] Tan Sri Sabbaruddin Chik meninggal dunia
Selain keluarga, saudara-mara arwah, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob antara yang paling terkesan kerana beliau menganggap Sabbaruddin sebagai ‘sifu’ beliau.
Bahkan, Ismail Sabri mengakui kejayaannya dalam bidang politik sehingga menjadi Perdana Menteri, semuanya adalah atas jasa dan peranan 'sifu'nya itu.
"Jasa beliau tidak ternilai besarnya dan tidak mampu saya balas. Kejayaan saya di dalam politik sehingga menjadi Perdana Menteri tidak akan tercapai tanpa peranan Tan Sri Sabaruddin Chik.
"Tanpa beliau tentu saya tiada di sini. Sebab itu lah sehingga sekarang saya terus menghormati dan bersama sifu saya ini," katan Perdana Menteri.
Allahyarham memulakan karier politiknya selepas bertanding di kerusi Parlimen Temerloh dan memegang kerusi itu dari 1982 hingga 1999.
Begitupun, arwah menyertai UMNO pada 1973 dan antara jawatan penting yang pernah disandang adalah Setiausaha Agung UMNO selama tiga tahun dari 1996, Ketua UMNO Bahagian Temerloh pada 1984 dan Ahli Majlis Tertinggi UMNO selama 12 tahun.
Allahyarham Sabbaruddin juga dikurniakan Darjah Panglima Setia Mahkota (PSM) yang membawa gelaran Tan Sri pada Jun 2000 sebagai mengenang jasa dan sumbangan besarnya pada pembangunan negara.
Belasungkawa | Agong, Permaisuri zahir ucapan takziah
Allahyarham menghembuskan nafas terakhir pada 7.45 malam Sabtu di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), selepas seminggu dimasukkan ke pusat rawatan itu.
Jenazahnya selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Kiara, Kuala Lumpur sekitar pukul 10.40 pagi Ahad.
Pemergian Allahyarham pastinya ditangisi namun jasa, semangat dan iltizamnya akan terus dikenang selamanya.
Al-Fatihah.
[TERKINI] Upacara pengebumian Allahyarham Sabbaruddin Chik