Belasah suspek jenayah tidak akan selesaikan masalah - Lee Lam Thye
Astro Awani
Januari 22, 2015 21:33 MYT
Januari 22, 2015 21:33 MYT
Trend orang ramai membelasah suspek atau penjenayah yang ditangkap sebelum menyerahkannya ke balai polis dilihat tidak dapat menyelesaikan apa-apa masalah berkaitan kes berkenaan.
Naib Pengerusi Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF), Tan Sri Lee Lam Thye berkata, masyarakat harus sedar menggunakan kekerasan lebih-lebih lagi sehingga menyebabkan penjenayah menemui maut adalah satu tindakan yang melanggar undang-undang.
"Kejadian yang berlaku memang dianggap serius kerana ia membabitkan keganasan. Apabila sesuatu kejadian berlaku dan orang ramai menghukum dengan menggunakan keganasan sehingga menyebabkan kematian... saya rasa tindakan ini harus dikutuk sekeras-kerasnya.
"Keganasan ini tak boleh mengatasi apa-apa masalah. Laporkan sahaja kepada pihak polis dan biarkan mereka yang menyiasat serta menentukan kebenaran setiap laporan.
"Jika suspek dihukum sehingga meninggal dunia, siapa yang terlibat pula akan dilabel penjenayah," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Lee mengulas kejadian seorang remaja yang maut akibat dibelasah sekumpulan lelaki di Georgetown, Pulau Pinang pada Rabu.
Remaja berusia 16 tahun itu, seorang anak yatim piatu, dikatakan mencuri barangan milik majikannya di premis mencuci kenderaan tempat dia bekerja.
Laporan bedah siasat menunjukkan mangsa mati akibat kecederaan parah di bahagian kepala akibat dipukul dan dihentak sehingga menyebabkan otak mangsa membengkak dan berlaku pendarahan.
Tambah Lee lagi, walaupun tindakan orang ramai yang memukul suspek jenayah itu dikatakan berlaku secara spontan, perkara itu seharusnya tidak berlaku tanpa siasatan terperinci.
"Memang biasa kita lihat situasi itu berlaku. Misalnya peragut ditangkap atau mana-mana pencuri yang diberkas penduduk di sesebuah kawasan kejiranan.
"Sebaiknya siasat dahulu dan rujuk kes itu kepada anggota keselamatan; jangan terlalu ghairah untuk memukul suspek tanpa siasatan," jelasnya.
Isu orang ramai membelasah suspek penjenayah sering berlaku di negara ini. Dalam beberapa kes yang dilaporkan, tindakan telah menyebabkan suspek cedera parah dan ada juga sehingga menyebabkan kematian.