Belasah isteri, anak kerana tidak dibelikan rokok, penganggur dipenjara 9 tahun

Shuhada Abdul Kadir
Disember 7, 2022 16:04 MYT
Tertuduh Rony Abraham, 37, dikenakan hukuman itu selepas membuat pengakuan bersalah atas empat pertuduhan hari ini. - Foto Astro AWANI
AYER KEROH: Tindakan seorang penganggur yang berang apabila isterinya gagal membelikan rokok sehingga tergamak mencederakan wanita itu serta dua anaknya membawa padah, apabila dijatuhi hukuman penjara sembilan tahun.
Tertuduh Rony Abraham, 37, dikenakan hukuman itu selepas membuat pengakuan bersalah atas empat pertuduhan, dalam dua prosiding berasingan di Mahkamah Sesyen dan Majistret Ayer Keroh.
Mengikut satu pertuduhan di hadapan Hakim Mohd Sabri Ismail, tertuduh didapati menyebabkan kecederaan kepada isterinya, Nazifah Mohd Salleh, 38, dengan cara mencucuh puntung rokok di lengan tangan kanan dan bahagian mata sebelah kiri mangsa.
Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut seksyen 324 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama seksyen 326A kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun atau denda atau sebat, atau mana-mana dua daripada hukuman itu.
Tertuduh turut mengaku bersalah di hadapan Majistret Sharda Shienha Mohd Suleiman atas tiga lagi pertuduhan memukul isteri serta dua anaknya yang berusia 12 dan 13 tahun.
Mengikut ketiga-tiga pertuduhan, tertuduh didapati menyebabkan kecederaan kepada isterinya dengan memukul pipi kiri dan seluruh badan wanita itu menggunakan tangan selain turut menumbuk mulut anak perempuannya yang berusia 13 tahun dan menendang belakang badan anak lelakinya yang berumur 12 tahun.
Bagi pertuduhan itu, dia didakwa melakukan kesalahan mengikut seksyen 323 Kanun Keseksaan dibaca bersama seksyen 326A kanun sama yang boleh dipenjara sehingga dua tahun atau denda RM2,000 atau kedua-duanya.
Kesemua kesalahan itu dilakukan di sebuah rumah di Bukit Tembayan, Tanjung Kling di dalam daerah Melaka Tengah antara pukul 7 pagi hingga 11 pagi, 17 Oktober 2022 lalu.
Mengikut fakta kes, tertuduh mula berang apabila isterinya tidak membelikan rokok untuknya sebelum wanita itu kemudian bertindak keluar rumah bagi mendapatkan bekalan berkenaan untuk suaminya.
Tertuduh bagaimanapun dikatakan masih tidak berpuas hati dan bertindak mengarahkan isterinya duduk di atas katil dan mencucuh puntung rokok ke bahagian badan mangsa.
Tertuduh turut memukul dua lagi anaknya sebelum secara tiba-tiba bertindak naik ke atas bumbung rumah dah meminta tolong.
Hakim Mohd Sabri pada penghakimannya kemudian menjatuhkan hukuman penjara tiga tahun bermula dari tarikh di tangkap pada 23 oktober lalu atas pertuduhan dibawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan.
Manakala Majistret Sharda Shienha menetapkan hukuman penjara dua tahun bagi setiap tiga pertuduhan dibawah Seksyen 323 kanun sama, bagaimanapun hukuman itu berjalan serentak daripada tarikh sabitan.
Prosiding pendakwaan dikendalikan secara berasingan oleh Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Nazrin Ali Rahim dan Fiqri Hakim Zamri, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
#pukul isteri #Seksyen 323 Kanun Keseksaan #cucuh puntung rokok #pukul anak
;