Belas kasihan perlu untuk kukuhkan kekuatan kerajaan - Anwar

Bernama
Jun 16, 2019 05:00 MYT
Datuk Seri Anwar Ibrahim disambut dengan tarian selamat datang dari suku kaum Iban ketika hadir pada Rumah Terbuka Semarak Aidil Fitri dan Sambutan Gawai Dayak bersama Pimpinan PKR Sarawak di Kompleks Belia dan Sukan hari ini. - Foto Bernama
Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Anwar Ibrahim yakin kekuatan sesebuah kerajaan tidak akan tergugat sekiranya ia mempunyai belas kasihan kepada rakyat tanpa mengira latar belakang.
Anggota Parlimen Port Dickson itu berkata belas kasihan adalah untuk semua manusia tanpa mengira warna kulit dan keyakinan agama bagi memastikan hidup mereka yang susah terbela.
"Kalau fahaman ini ada dalam kerajaan Pakatan Harapan (PH) bersama Parti Warisan Sabah (Warisan) saya yakin 'tidak ada kuasa yang boleh menggoncang kerajaan yang kuat ini ' di bawah PH baik di Sabah mahupun Malaysia tetapi syaratnya ialah melaksanakan apa yang kita ucapkan," katanya ketika berucap pada Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri PKR Sabah, di sini pada Ahad.
Anwar berkata PKR sentiasa memberi komitmen agar kerajaan di bawah PH bertambah kuat serta menjadi contoh yang terbaik dan ia tidak akan dapat dicapai hanya dengan satu parti.
"Oleh sebab itulah kita harus pastikan kerjasama antara parti-parti dalam PH serta Warisan cukup kuat dan hormat hak dan giliran yang memimpin kita," katanya.
Sementara itu, Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri PKR Sabah Datuk Christina Liew berkata kerjasama dan keharmonian merupakan teras penting dalam pembangunan negara dan masyarakat terutamanya di Sabah.
Timbalan Ketua Menteri Sabah itu berkata kerajaan negeri dibawah pimpinan Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Shafie Apdal menitikberatkan keharmonian kerana ia merupakan kekuatan dan teras sebenar negeri Sabah yang boleh dipelajari oleh lain-lain negeri di negara ini.
"Dalam konteks perayaan, kita dapat lihat semua bangsa bersama-sama memeriahkan sambutan Hari Raya Aidilfitri, begitu juga sambutan Tahun Baru Cina, Deepavali dan Krismas," katanya.
Turut hadir Naib Presiden PKR Dr Xavier Jayakumar, Setiausaha Agung PKR Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail serta beberapa pemimpin daripada Warisan, DAP dan UPKO.
--BERNAMA
#Aidilfitri #Anwar Ibrahim #hari raya #kerajaan #Ketua Menteri #menteri #Pakatan Harapan #Parlimen #Parti Keadilan Rakyat #PKR #Shafie Apdal
;