Belanjawan Selangor 2024: Insentif Muassasah Haji Selangor dinaikkan kepada RM3 juta

Hasimi Muhamad
November 10, 2023 18:17 MYT
Amirudin berkata bantuan itu sekali gus dapat mengurangkan kos untuk menunaikan ibadah bagi bakal haji di Selangor - Gambar hiasan/AP
KUALA LUMPUR: Kerajaan Selangor meningkatkan peruntukan bagi Insentif Muassasah Haji Selangor daripada RM1.5 juta kepada RM3 juta menerusi Belanjawan 2024.
Menurut Menteri Besarnya, Datuk Seri Amirudin Shari, bantuan tersebut akan dijalankan oleh Kerajaan Negeri dengan usahasama Lembaga Tabung Haji.
"Insya-Allah kita akan mewujudkan dua kategori iaitu kategori pertama untuk mereka yang benar-benar perlu, dan ingin ke sana (Tanah Suci), serta (kumpulan) tidak layak langsung akan dibiayai penuh melalui bantuan RM3 juta, dan sebahagiannya dalam bentuk subsidi antara RM1,000 hingga RM1,500 ke dalam akaun-akaun Tabung Haji.
"Ini sekali gus mengurangkan kos untuk menunaikan ibadah haji bagi mereka di Selangor. Senarai dan penelitian akan dibuat bersama dengan Lembaga Urus Tabung Haji," katanya.
Beliau berkata demikian ketika membentangkan Belanjawan Selangor 2024 bertemakan, Selangor Mandiri: Memacu Kemajuan, Memicu Perpaduan di Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN), pada Jumaat.
Sementara itu, Amirudin berkata Tabung Amanah Pembangunan dan Pengurusan Pelajar Timur Tengah akan diwujudkan bagi pembelian Rumah Selangor Kedua bagi tujuan asrama pelajar di Mesir.
Ujarnya, tabung tersebut dibangunkan sebagai menjunjung titah Sultan Selangor, agar pengurusan waqaf dapat diperkasakan di negeri itu.
"Sehubungan itu, sebagai permulaan, Kerajaan Negeri akan memulakan suntikan dana sebanyak RM5 juta yang akan diperuntukkan ke dalam tabung amanah ini bagi tujuan wakaf sebagai dana permulaan.
"Justeru, usaha membudayakan wakaf ini akan diteruskan dan fokus akan ditambah dengan usaha-usaha mengembangkan harta wakaf," katanya lagi.
#Belanjawan Selangor 2024 #Amirudin Shari #Insentif Muassasah Haji Selangor
;