Belanjawan Selangor 2023 ditangguh ke 25 November - Amirudin

Bernama
Oktober 17, 2022 21:50 MYT
Amirudin berkata pihaknya akan memohon perkenan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah untuk menangguhkan pembentangan belanjawan tersebut ke tarikh berkenaan. - Gambar fail
SHAH ALAM: Belanjawan Negeri Selangor 2023 yang sepatutnya dibentangkan di Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) pada 28 Okt ini, dijangka akan ditangguh ke 25 Nov depan, bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari, berkata pihaknya akan memohon perkenan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah untuk menangguhkan pembentangan belanjawan tersebut ke tarikh berkenaan.
"Urusan itu biasanya Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor akan maklumkan kepada Tuanku secara bertulis dan pada asasnya saya rasa tiada halangan kerana ia untuk kebaikan semua," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Penutupan Latihan dan Kursus Sukarelawan Selangor (SERVE Rescue), di sini, hari ini.
Amirudin berkata penangguhan itu perlu dibuat berikutan kebanyakan pegawai di negeri tersebut akan terlibat dalam PRU15.
"Ia bukan masalah kempen, saya tengok ramai pegawai-pegawai kita terlibat sebagai pengurus pilihan raya, timbalan pengurus pilihan raya.
"Pegawai Daerah kita juga akan terlibat sebagai ketua-ketua pusat mengundi dan saya pasti ia akan mengganggu fungsi mereka ketika belanjawan nanti. Jadi kemungkinan kita tangguh selepas PRU15," katanya.
Dalam pada itu, Amirudin berkata pihaknya akan meneruskan program SERVE Rescue bagi melahirkan individu berkemahiran menyelamat pada masa depan.
"Pasukan beruniform juga memerlukan bantuan sumber manusia yang berkemahiran ketika berdepan bencana. Pasukan ini berkemampuan membantu antara satu sama lain. Kadang-kadang ada bantuan yang membebankan pasukan beruniform kerana tidak dilatih, jadi, kita tak mahu perkara itu berlaku," katanya.
Katanya, seramai 37 individu selesai menjalani latihan selama lima hari bersama Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) bagi melengkapkan diri mereka dengan kemahiran asas menyelamat.
"Kumpulan pertama ini dilatih dengan beberapa kemahiran antaranya kaedah menyelamat dalam air, cara berdepan suasana mencabar dan pengendalian bot.
"Latihan seperti ini tidak hanya berhenti di sini sebaliknya kita rancang dengan bomba untuk jangka panjang sama ada secara bulanan atau berkala yang bertujuan meningkatkan kemahiran mereka," katanya
-- BERNAMA
#Belanjawan Negeri Selangor #PRU15 #Amirudin Shari #tangguh
;