Belanjawan Selangor 2020: Tiada pengurangan perbelanjaan mengurus, pembangunan - Ketua Pembangkang
Astro Awani
November 1, 2019 22:11 MYT
November 1, 2019 22:11 MYT
Kerajaan Selangor tidak mengurangkan perbelanjaan mengurus dan pembangunan walaupun negeri itu mencatat penurunan sebanyak RM230 juta berbanding tahun lepas.
Ketua Pembangkang Selangor, Rizam Ismail menegaskan, kedua-dua perbelanjaan tersebut juga mencatat angka lebih tinggi berbanding Belanjawan 2019.
“Belanjawan Negeri 2020 menyaksikan jumlah peruntukan yang lebih kecil berbanding tahun 2019.
“Malah, Menteri Besar, Amirudin Shari menyatakan pengurangan ini adalah kejayaan kerajaan negeri yang berjaya dalam membuat beberapa penjimatan.
“Bagaimanapun, sekiranya dilihat melalui pecahan antara perbelanjaan mengurus dan perbelanjaan pembangunan, kita dapat lihat peratusan kepada perbelanjaan mengurus adalah lebih tinggi berbanding tahun lalu,” katanya.
Rizam berkata demikian semasa ditemui selepas pembentangan Belanjawan Selangor 2020 di sini, pada Jumaat.
Semasa pembentangan Belanjawan Selangor 2020, Amirudin menjelaskan, anggaran perbelanjaan tahun 2020 berjumlah RM2.33 bilion dicadangkan.
“Daripada jumlah tersebut, RM1.2 bilion atau 51.44 peratus diperuntukan bagi belanja mengurus dan RM1.133 bilion atau 48.56 peratus untuk belanja pembangunan.
“Belanjawan 2020 dijangka mengalami defisit berjumlah RM133 juta berpunca daripada peruntukan pembangunan yang substantif untuk memenuhi keperluan pembangunan mampan.
“Jumlah defisit ini menyaksikan penurunan berbanding jumlah defisit tahun 2019 yang iaitu RM360 juta,” ujar Amirudin.
Dalam pada itu Rizam melahirkan rasa bimbang kerana perbelanjaan pembangunan mencatat peningkatan dan lebih tinggi berbanding tahun lalu.
“Kita risau pengurangan jumlah belanjawan ini akan menyaksikan kerajaan negeri perlu sekali lagi membentangkan perbelanjaan tambahan seperti mana yang dilakukan untuk tahun ini,” katanya.
#Amirudin Shari
#Belanjawan Selangor 2020
#Ketua Pembangkang Selangor
#pembangunan
#perbelanjaan mengurus
#Rizam Ismail