Belanjawan Selangor 2020 peruntuk RM2.33 bilion
Wan Syamsul Amly
November 1, 2019 17:11 MYT
November 1, 2019 17:11 MYT
Belanjawan Selangor 2020 membentangkan lima strategi utama selari dengan tema Selangor Negeri Unggul, Kehidupan Bermartabat.
Menteri Besar, Amirudin Shari menjelaskan, ia sekali gus menekankan penjanaan pertumbuhan dan pemberdayaan ekonomi negeri dan merencana agenda pendidikan unggul.
Selain itu, ia turut mewujudkan Selangor yang selamat, sihat dan sejahtera, menjamin kelestarian alam sekitar serta menjuarai kemampanan sosial.
“Kelima-lima strategi ini adalah suatu saranan Wasail wa Mukamillat sebagaimana yang diungkapkan filsafat perundangan Maqasid al Shariah, yakni pendekatan ke arah kesempurnaan pelaksanaan matlamat utama belanjawan yang telah digariskan,” katanya semasa pembentangan Belanjawan Selangor 2020 di sini, pada Jumaat.
Menurut beliau, anggaran perbelanjaan tahun 2020 berjumlah RM2.33 bilion bagi Belanjawan Selangor 2020 turut dicadangkan.
“Daripada jumlah tersebut, RM1.2 bilion atau 51.44 peratus diperuntukkan bagi belanja mengurus dan RM1.133 bilion atau 48.56 peratus untuk belanja pembangunan.
“Belanjawan 2020 dijangka mengalami defisit berjumlah RM133 juta berpunca daripada peruntukan pembangunan yang substantif untuk memenuhi keperluan pembangunan mampan.
“Jumlah defisit ini menyaksikan penurunan berbanding jumlah defisit tahun 2019 yang iaitu RM360 juta,” katanya.
Tambah beliau, pengalaman belanjawan yang lalu membuktikan perbelanjaan berhemah, memperkukuh budaya kerja cekap dan berintegriti dan menutup ruang pembaziran serta ketirisan telah berjaya mengurangkan belanjawan defisit kepada satu jumlah yang munasabah.
#Amirudin Shari
#Belanjawan Selangor 2020
#Kehidupan Bermartabat
#Menteri Besar
#Selangor Negeri Unggul