Belanjawan Sabah 2023: Hajiji umum peruntukan lebih RM5 bilion

Abdul Hafiz Mustadi
November 25, 2022 17:22 MYT
Jelas Hajiji, peruntukan RM5.138 bilion dalam Belanjawan Sabah 2023 adalah yang tertinggi dalam belanjawan negeri itu sejak merdeka. - Bernama
KOTA KINABALU: Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor membentangkan Belanjawan Sabah 2023 yang membabitkan peruntukan RM5.138 bilion semasa Persidangan Dewan Undangan Negeri Sabah, di sini pada Jumaat.
Jelas Hajiji, peruntukan itu adalah yang tertinggi dalam sejarah Belanjawan Sabah sejak merdeka.
Bertemakan 'Ekonomi Diperkasa, Rakyat Sejahtera', ia dirangka selaras tumpuan utama dalam Belanjawan 2023 untuk memacu dan memperkasa ekonomi negeri demi memastikan pembangunan Sabah dan kesejahteraan rakyat secara inklusif dan berterusan.
Menurut Hajiji, pihaknya turut menganggarkan kutipan hasil sebanyak RM5.268 bilion.
"Ini bermakna Belanjawan 2023 adalah satu belanjawan lebihan sebanyak RM130.47 juta.
"Semoga Belanjawan 2023 ini dapat memberikan manfaat dan kesenangan, juga memberi berkat kepada tampuk kepimpinan saya untuk terus memajukan negeri ini, agar setiap lapisan rakyat dapat menikmati kemudahan yang disediakan oleh kerajaan," katanya.
Tambah beliau, Kementerian Kewangan Sabah mendapat jumlah agihan tertinggi iaitu RM2.16 bilion diikuti Kementerian Kerja Raya RM1.16 bilion.
Selain agihan kepada 12 kementerian, turut tersenarai ialah perbelanjaan tanggungan berjumlah RM227.24 juta serta perbelanjaan yang tidak termasuk dalam kementerian-kementerian berjumlah RM38.79 juta.
Mengulas dari segi kutipan hasil RM5.268 bilion, Hajiji berkata ada tiga perincian yang menyumbang kepada kutipan tersebut.
"Pertama, Hasil Cukai berjumlah RM2.405 bilion yang melibatkan Cukai Jualan Negeri RM2.270 bilion; Sewa Tanah RM90 juta; serta Cukai Pelabuhan dan Dermaga RM44.5 juta.
"Kedua: Hasil Bukan Cukai sebanyak RM2.311 bilion yang merangkumi Royalti Petroleum RM1.35 bilion; Jualan Air RM300 juta; Premium Tanah RM144 juta; Dividen RM137 juta; Royalti Keluaran Hutan dan Eksport Kayu Diproses RM133.5 juta; serta Faedah atas Baki Wang Tunai dan Simpanan Jangka Pendek RM115 juta.
"Manakala ketiga Terimaan Bukan Hasil sejumlah RM553.17 juta, yang mana antara sumber utama adalah pemberian daripada Kerajaan Persekutuan dengan anggaran RM528.87 juta yang merangkumi lima terimaan seperti Pemberian Khas; Pemberian Mengikut Kiraan Kepala; Pemberian Bagi Membiayai Perbelanjaan Mengurus bagi Jabatan-Jabatan di Bawah Senarai Bersama; Pemberian untuk Menggantikan Duti Import / Eksais Ke atas Petroleum; dan Sumbangan Kepada Kos Pelaksanaan Projek Pembangunan Persekutuan," katanya.
#Belanjawan Sabah #Datuk Seri Hajiji Noor #Sabah #Dewan Undangan Negeri Sabah
;