Belanjawan Madani cerminan prinsip tanggungjawab, mampu mendepani ekonomi global - PM Anwar

Ridauddin Daud
Februari 24, 2023 16:32 MYT
Belanjawan Madani yang juga cerminan prinsip pertanggungjawaban dan sistem nilai luhur mampu mendepani cabaran ekonomi global yang sarat dengan ketidaktentuan, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.
KUALA LUMPUR: Belanjawan Madani yang juga cerminan prinsip pertanggungjawaban dan sistem nilai luhur mampu mendepani cabaran ekonomi global yang sarat dengan ketidaktentuan.
Menurut Datuk Seri Anwar Ibrahim, pembentangan Belanjawan 2023 pada Jumaat adalah keadaan sebenar yang tidak cuba mengaburi minda rakyat dengan angka-angka memukau.
Kata Perdana Menteri, Belanjawan 2023 dibentang selepas kerajaan mengambil kira keluhan rakyat dan juga gesaan serta gagasan Ahli-Ahli Parlimen dalam Dewan Rakyat.
“Lantaran itu saya akan mulakan dengan menghurai fakta dan cabaran sebenarnya yang membelit ekonomi dan tantangan kepada kita di Parlimen dan di negara; apakah ada tekad politik untuk membuat anjakan dan perubahan yang perlu.
“Pertama, kerajaan mewarisi bebanan hutang yang terlalu tinggi. Hutang negara akan menjangkau RM1.2 trilion ringgit atau lebih 60 peratus KDNK bagi tahun 2023.
“Jika dihitung hutang dan liabiliti, kita mencecah RM1.5 trilion atau 81 peratus KDNK. Bayaran khidmat hutang tahun ini juga mencecah RM46 bilion atau 16 peratus daripada hasil.
“Ia telah melebihi had maksimum 15 peratus yang selama ini diamalkan. Bayaran RM46 bilion ini hanyalah untuk kadar faedah atau bunga pinjaman,” katanya ketika membentangkan Belanjawan 2023 Malaysia Madani di Dewan Rakyat, di sini, pada Jumaat.
Tegas beliau, sudah 25 tahun kerajaan membentangkan belanjawan defisit dan hutang negara terus bertambah.
“Kita pernah berhutang untuk membangun tanah Felda dan itu tidaklah digusarkan tetapi berhutang untuk membiayai projek mega tanpa faedah mengundang persoalan.
“Apakah kita mengkhianati amanah sekiranya generasi anak muda dibebani dengan hutang?” soal Perdana Menteri.
#Belanjawan 2023 #Belanjawan Madani #PM Anwar Ibrahim #PM10'
;