Belanjawan Madani 2025: Kerajaan terus tambah baik Dasar Peluang Kedua, bantu golongan muflis
Firdaus Azil
Julai 25, 2024 13:18 MYT
Julai 25, 2024 13:18 MYT
PUTRAJAYA: Kerajaan akan memperkenalkan beberapa langkah melalui Belanjawan Madani 2025 bagi memperkukuhkan lagi inisiatif Dasar Peluang Kedua di bawah Jabatan Insolvensi Malaysia (MdI), khusus untuk membantu rakyat yang muflis.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, beliau berbangga dengan prestasi MdI yang lebih proaktif, dan berjaya melebihi sasaran pelepasan bankrap dengan jumlah 142,510 kes.
Tegasnya lagi, peningkatan kes pelepasan yang membanggakan itu, bukan sekadar memberi kesan positif kepada individu, tetapi kepada keluarga yang kini boleh meneruskan kehidupan dengan lebih baik.
“Seramai 140,000 orang yang memang muflis, yang akan muflis, berterusan tidak ada upaya membayar (hutang) RM50,000, atau RM100,000.
“Tapi kerana keputusan Kerajaan meminda undang-undang (Akta Insolvensi 2023), beri ruang kepada jabatan untuk teliti semula, dan disusuli dengan tindakan yang lebih cekap daripada kalangan penjawat awam, khususnya di jabatan ini, kita lepaskan mereka (kes muflis).
“Dengan (tindakan) satu jabatan sahaja, lebih 140,000 keluarga merasa lega dan dapat hadapi hidup dengan baik. Kemudian, kalau lepaskan saja, tak ada program susulan, dia (penghutang) mungkin akan terus terhambat. Sebab itu disebut Dasar Peluang Kedua, kita anjurkan, supaya ada langkah yang harus diketahui mereka,” katanya lagi.
Perdana Menteri berkata demikian ketika berucap menyempurnakan Majlis Perasmian Sambutan 100 Tahun Insolvensi di Putrajaya pada Khamis, yang turut dihadiri Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said, dan Ketua Pengarah Insolvensi, M Bakri Abd Majid.
Dalam pada itu Perdana Menteri berkata, beliau mengharapkan agar golongan yang telah berjaya mendapat peluang kedua itu, agar tidak mengulangi kesilapan yang lalu, dan perlu melihat peluang yang disediakan bagi memperbaiki taraf kehidupan Mereka dan keluarga.
“Fahami peluang yang ada, dan melalui rangkaian jabatan dan kementerian yang pelbagai – seperti Tekun, atau Mara atau PUNB – kadang-kadang peluang diberikan tapi tak mendapat dokongan atau sambutan.
“Sebab itu kita adakan peluang kedua ini, dan jabatan yang berkaitan harus memberi dan mengenal pasti rangkaian dalam jabatan yang ada,” katanya lagi.
Kerajaan pula, tambahnya lagi, akan terus memastikan kelangsungan rakyat, khususnya mereka yang terperangkap dalam kemuflisan melalui bantuan-bantuan sedia ada seperti suntikan Sumbangan Tunai Rahmah
“Kita ada suntikan Tunai Rahmah, di mana kerajaan telah menyediakan (peruntukan) RM10 bilion setahun untuk untuk rakyat Malaysia yang berkelayakan, khususnya daripada golongan M40 dan B40," tambahnya lagi.