Belanjawan Interim boleh diluluskan jika berlaku keadaan luar biasa - Wong Chen
Rahimah Abdullah
November 22, 2020 21:17 MYT
November 22, 2020 21:17 MYT
KUALA LUMPUR: Perkara 102 Perlembagaan Persekutuan jelas menyatakan bahawa belanjawan interim boleh diluluskan jika berlaku suatu keadaan luar biasa.
Ahli Parlimen Subang, Wong Chen berkata demikian sebagai merujuk kepada kemungkinan Belanjawan 2021 tidak diluluskan di Dewan Rakyat.
Malah katanya, perkara itu pernah dilakukan pada tahun 1999.
"Mari kita letakkan isu politik ketepi dan jika anda bimbangkan mengenai ekonomi, bantu kelulusan belanjawan interim. Namun tidak wajar kerajaan membuat ugutan atau menteri mendesak dengan mengatakan bahawa jika kamu tidak memberi sokongan (Belanjawan 2021), maka kerajaan akan tumbang.
"Itu adalah satu penipuan. Itu hanyalah helah politik. Saya rasa seorang ahli parlimen yang bertanggungjawab akan memastikan dia memilih kerajaan dengan nombor (majoriti)," katanya semasa menjadi salah seorang panel Forum secara maya, Belanjawan 2021: National Budget Dissection Forum 2021: Resilience Amidst Trying Times pada Ahad.
Beliau juga mendakwa Speaker Dewan Rakyat mengabaikan semangat perlembagaan kerana menolak usul undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri dan menasihatkan ahli parlimen agar melalui menteri bertanggungjawab untuk berbuat demikian.
Chen turut memberi contoh di Ahli Parlimen di United Kingdom dan New Zealand yang diberi ruang untuk mengemukakan usul persendirian termasuk undi tidak percaya di Parlimen.
Namun, dakwanya perkara itu berbeza di Malaysia.
Kata Chen lagi, ahli parlimen tidak sepatutnya hanya memberi laluan kepada pimpinan sedia ada untuk mentadbir kerajaan tanpa melalui proses yang sepatutnya.
Jelasnya, ini kerana Dewan Rakyat adalah medan ujian terbaik yang perlu dilalui Perdana Menteri bagi menentukan sama ada pentadbiran kerajaan itu adalah pilihan atau sebaliknya.
Penggulungan perbahasan peringkat dasar mengenai Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2021 dijangka bermula Isnin ini.
Pada masa sama, pengundian pertama mengenai Belanjawan 2021 dijangka diadakan pada minggu yang sama.
#Belanjawan 2021
#ahli Parlimen
#Subang
#Wong Chen
#Belanjawan Interim
#Ahli Parlimen Subang
#Dewan Rakyat