KUALA LUMPUR: Peruntukan sebanyak RM320 juta untuk peningkatan capaian Internet dalam Belanjawan 2025 mampu menganjak produktiviti institusi pendidikan serta taraf hidup rakyat.

Dalam satu kenyataan, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) berkata, pihaknya komited untuk merealisasikan hasrat kerajaan dalam memastikan capaian Internet yang berkualiti demi kesejahteraan rakyat.

"Peruntukan RM120 juta untuk penambahbaikan liputan Internet di Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) disasar dapat membantu menyediakan persekitaran pembelajaran yang lebih kondusif kepada pelajar untuk mengikuti sesi pengajaran dan pembelajaran (P&P) dengan lebih berkesan.

"Begitu juga peruntukan RM100 juta di bawah Program Ketersambungan Infrastruktur Jalur Lebar Talian Tetap ke Sekolah-sekolah Luar Bandar akan membantu meningkatkan capaian Internet di sekolah desa dan pedalaman seluruh negara," katanya pada Sabtu.

Selain itu, MCMC turut mengalu-alukan peruntukan RM100 juta untuk pemerkasaan fungsi Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) di seluruh negara bagi tempoh lima tahun akan datang.

Katanya, peruntukan itu dapat membantu rakyat meningkatkan pendapatan menerusi aktiviti keusahawanan dalam talian seterusnya menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi digital.

Pada masa sama, MCMC memaklumkan, rangkaian kedua 5G yang bakal diumumkan kelak berupaya meningkatkan daya saing industri tempatan sekali gus membolehkan mereka bersaing ke peringkat yang lebih tinggi.